
PERSATUAN Bola Sepak Malaysia (FAM) telah mengumumkan senarai 38 pemain yang akan menyertai kem latihan berpusat skuad Harimau Malaya sebagai persiapan menghadapi perlawanan menentang Cape Verde dan Vietnam.
Dalam pengumuman yang dibuat pada Khamis, beberapa nama utama seperti Arif Aiman Hanapi, Faisal Halim dan Stuart Wilkin turut disenaraikan.
Menariknya, pengendali skuad kebangsaan, Peter Cklamovski turut memberi kepercayaan kepada pemain muda dengan menyenaraikan bakat-bakat dari Johor Darul Ta'zim (JDT) II dan Selangor FC, termasuk Alif Ahmad dan Haykal Danish.
BACA LAGI: [VIDEO] 'Saya tiada masa untuk tunggu', Syazwan Andik sah tinggalkan Sri Pahang
BACA LAGI: Lepas Sikh Izhan-Richmond, 3 lagi bintang Selangor boleh sarung sekejap jersi Penang
Pengendali Harimau Malaya, Peter Cklamovski. — Facebook/MalaysiaNT
Langkah itu sejajar dengan hasratnya untuk menyuntik tenaga muda ke dalam skuad senior, seperti yang pernah dinyatakannya sebelum ini.
Beberapa prospek muda lain seperti Hong Wan, Fergus Tierney dan Muhammad Abu Khalil juga tersenarai, sekali gus menjanjikan saingan menarik dan memberi isyarat jelas bahawa pembangunan bakat muda semakin diberi perhatian.
Penyertaan pemain muda daripada kelab-kelab ternama ini bukan sahaja menjadi peluang berharga buat mereka, malah turut menjadi motivasi kepada pemain muda dari kelab lain untuk terus menyerlah.
Oleh itu, selepas memberi peluang kepada bakat muda dari JDT dan Selangor, sudah tiba masanya buat Cklamovski untuk turut meneliti potensi pemain muda dari kelab-kelab dari Borneo, Pantai Timur dan Utara tanah air agar pembangunan bola sepak negara lebih menyeluruh dan seimbang.
1. Chikonelson Kulisi
Chikonelson Kulisi, pemain muda Sabah FC wajar diberi peluang menyertai skuad kebangsaan meskipun masih muda.
Pemain berusia 19 tahun itu telah membuktikan kematangan serta daya saing tinggi dalam Liga Malaysia dan sesuai dengan hasrat jurulatih Peter Cklamovski yang mahu menyuntik tenaga muda ke dalam skuad senior.
Sebelum ini, Chikonelson hanya diturunkan bersama skuad simpanan dan dia beraksi dalam Piala MFL, namun impak dibawa tidak begitu dirasakan memandangkan Sabah FC II berada di kedudukan tercorot.
Chikonelson menampilkan aksi memukau meskipun hanya beberapa minit berada di atas padang. — Facebook/Sabah FC
Bagaimanapun, ia bukanlah alasan untuk pihak pengurusan pasukan senior untuk menghalangnya daripada diturunkan dengan dia sudah membuktikan potensi dimilikinya ketika berdepan Selangor FC.
Beraksi menentang Gergasi Merah menggantikan Saddil Ramdani, dia menampilkan aksi yang cukup memukau orang ramai meskipun hanya dimasukkan pada babak akhir aksi kedua dalam aksi yang berlangsung pada 27 Februari lalu.
Dalam aksi yang berlangsung di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), Selangor itu, kedua-dua pasukan terikat dengan keputusan 0-0.
2. Daniel Hakimi
Pemain muda Perak FC, Daniel Hakimi merupakan antara ‘ubi muda’ yang wajar dipertimbangkan untuk dipanggil menyertai skuad kebangsaan, sejajar dengan hasrat Cklamovski untuk menyuntik tenaga muda ke skuad kebangsaan.
Meskipun masih muda, Daniel telah menunjukkan kematangan dalam permainan, terutama selepas menandatangani lanjutan kontrak bersama Perak FC musim lalu.
Daniel memainkan peranan penting di bahagian tengah, bukan sahaja dalam mengawal tempo permainan tetapi juga dalam mencipta gerakan menyerang.
Daniel Hakimi (kiri) yang baru menandatangani lanjutan kontrak bersama Perak FC berhasil meledak gol kemenangan untuk Perak. — Facebook/PerakFC
Antara detik yang menyerlah adalah ketika dia meledak gol debut bersama skuad The Bos Gaurus 9TBG) menerusi sepakan penalti pada minit ke-89, gol yang mengesahkan kemenangan 3-0 untuk Perak.
Kelincahan dan keberaniannya menyerang turut mencuri perhatian penyokong, sehingga digelar sebagai ‘Messi baharu’ Liga M.
Pencapaian dan prestasinya itu menjadikan Daniel satu pilihan wajar untuk diketengahkan di peringkat kebangsaan, bukan sekadar sebagai pelapis, tetapi sebagai pelaburan masa depan Harimau Malaya.
3. Muslihuddin Atiq
Pemain muda Terengganu FC, Muslihuddin Atiq merupakan salah seorang ‘ubi muda’ yang wajar dipertimbangkan untuk dipanggil menyertai skuad kebangsaan.
Nama Muslihuddin tidak lagi asing bagi penyokong Sang Penyu kerana sejak dimasukkan ke dalam skuad muda pasukan, dia telah menunjukkan potensi besar untuk diserap ke dalam skuad utama.
Walaupun masih berusia 22 tahun, pemain itu telah beraksi dalam Liga Super 2023 sebanyak tiga kali. Namun, disebabkan kehadiran ramai bintang dalam pasukan senior, peluangnya agak terhad.
Muslihuddin Atiq sudah bersedia untuk dibawa ke dalam pasukan utama. — Facebook/Terengganu FC
Bagaimanapun, situasi itu berpotensi berubah pada kempen akan datang, terutama jika skuad Peteh itu gagal mendapatkan khidmat pemain seperti Safawi Rasid kerana profil permainan mereka agak serupa.
Muslihuddin menunjukkan kemampuannya dengan merekodkan sembilan gol dalam 19 penampilan dalam kempen Piala MFL 2024/25 membantu Terengganu FC II menduduki tangga ketiga.
Sebagai penyerang sayap kiri, Muslihuddin juga mempunyai fleksibiliti untuk diposisikan sebagai pemain tengah menyerang, seperti yang sering dilakukan oleh pengendali Badrul Afzan Razali terhadap kapten pasukan pada musim-musim lalu.
Potensi yang ditunjukkan oleh Muslihuddin menjadikannya pilihan yang tepat untuk dipertimbangkan dalam skuad kebangsaan, sebagai salah seorang pemain yang mampu memberi sumbangan besar pada masa hadapan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram