KBS wujud jawatankuasa pemantau lepas sambung talian hayat PAFA


  • Podium
  • Sabtu, 17 Jun 2023

Khairudin menegaskan satu surat sudah dihantar kepada KBS yang membantu proses penangguhan itu.

PERSATUAN Bola Sepak Perak Darul Ridzuan (PAFA) yang sebelum ini bakal dibubarkan diberi penangguhan pembatalan setelah perkara itu sampai kepada pengetahuan Kementerian Belia dan Sukan (KBS).

Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi, Belia dan Sukan negeri, Khairudin Abu Hanipah berkata, satu surat rayuan telah dikemukakan kepada Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh berhubung perkara tersebut.

"Memang sebelum ini Pesuruhjaya Sukan (PJS) telah serahkan surat pembatalan PAFA kepada Jawatankuasa PAFA dan diberikan tempoh 14 hari untuk membuat rayuan selepas tarikh surat diterima.

"Jadi, salah seorang pimpinan tertinggi PAFA sesi 2018-2021 yang diiktiraf PJS telah kemukakan rayuan kepada kementerian dan kita dimaklumkan mereka akan mencari solusi yang bersesuaian untuk kes ini," katanya.

Khairudin berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Apresiasi dan Jalinan Kolobrasi empowerNCER Akademik di Ipoh pada Sabtu.

Jelasnya lagi, pihaknya juga sudah mengadakan pertemuan dengan Hannah bagi mencari penyelesaian dan pertimbangan mengikut perlembagaan PJS agar PAFA tidak dibubar.

"Alhamdulillah pertemuan itu menampakkan hasil positif apabila KBS akan mewujudkan jawatankuasa bertindak yang akan dipilih pihak kementerian sendiri untuk memantau perkembangan PAFA.

"Jawatankuasa bertindak itu juga akan melaksanakan semula mesyuarat agung tahunannya (AGM) untuk memilih jawatankuasa baharu dan setelah urusan terbabit selesai barulah kepimpinan yang baharu itu akan menerajui PAFA kelak," katanya.

Pada 7 Mac tahun lalu, PAFA digantung selama enam bulan oleh PJS berikutan kemelut yang melanda badan induk bola sepak itu. — Bernama

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram