
PENYOKONG Perak FC terus dibelenggu tanda tanya selepas Pengerusi kelab, Datuk Seri Azim Zabidi mengesahkan bahawa pasukan Utara tanah air berkenaan tidak akan beraksi dalam saingan Liga Super 2025/26.
Berdasarkan laporan Astro Arena pada Selasa, beliau mengesahkan tiada sebarang dokumen dihantar kepada pihak Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) sehingga tarikh akhir permohanan pada Sabtu lalu (10 Mei 2025).
Keputusan itu sekaligus menimbulkan kegusaran dalam kalangan penyokong tegar skuad Seladang yang masih menaruh harapan terhadap kelangsungan pasukan dalam saingan kompetitif musim hadapan.
BACA LAGI: Tubuh koperasi bantu Perak bagus tapi lebih baik mula dari bawah — Sayf Che Ismail
BACA LAGI: [VIDEO] Ada 3 syarikat tunjuk minat ambil alih Perak — Pengerusi Perak
"Setahu saya Perak tidak masuk (Liga Super musim depan) dan kami tidak hantar apa-apa dokumen. Dokumen itu perlu membuktikan yang anda memiliki kewangan dan tiada masalah pembayaran gaji, kami tiada semua itu.
"Mungkin maksud mereka semua pasukan yang akan beraksi musim akan datang," kata Azim ringkas ketika mengulas mengenai masa depan skuad The Bos Gaurus (TBG) dalam saingan Liga Super pada musim baharu nanti.
Persoalan timbul dalam kalangan penyokong selepas badan bebas First Instance Body (FIB) memberitahu kesemua kelab Liga Super termasuk dua kelab dari Liga A-1 Semi-Pro, Melaka FC dan Imigresen FC sudah memuat naik dokumen bagi permohonan Lesen Kebangsaan 2025-2026 di dalam Sistem Pelesenan AFC CLAS.
Dengan kekeliruan yang berlaku antara pengelola bola sepak domestik dan pengerusi Perak FC itu, penyokong skuad Seladang rata-ratanya membuat jangkaan bahawa FIB akan tampil dengan penjelasan mengenai situasi itu dalam masa terdekat ini.
"Ada lah MFL kata semua mohon. Pelik tapi benar. MFL kena bagi penjelasan terhadap perkara ini," kata penyokong bola sepak domestik, Rahim Borhan.
"Kejap kata ada yang nak taja Perak tup-tup tak ambik lesen pulak hadoii! Kecewa lah penyokong-penyokong dengan kenyataan yang sebegini," komen peminat bola sepak Liga Malaysia, Mohd Nooh.
Sepanjang kempen 2024/25, Perak FC menjadi mangsa kemelut kewangan yang melanda kelab-kelab Liga Super dengan laporan mengatakan pemain dan staf kejurulatihan tidak menerima bayaran gaji beberapa bulan.
Azim mengesahkan pihaknya tidak menghantar sebarang dokumen kepada MFL. — Facebook/Perak FC
Hal tersebut menyaksikan beberapa tonggak utama seperti Clayton Santos dan Wan Zack Haikal tampil mendesak pihak pengurusan menyelesaikan tunggakan bayaran yang sepatutnya diterima berbulan-bulan lalu.
Bagaimanapun, sehingga kini, Azim dan pemegang saham utama kelab, XOX Pro Sport Sdn Bhd tidak memberi sebarang perkembangan baharu berhubung masalah berkenaan meskipun penyokong terus meminta jawapan.
Selain Perak FC, status lesen kebangsaan pasukan bermasalah seperti Sri Pahang FC dan Kedah Darul Aman (KDA) FC masih belum diputuskan dengan MFL dijangka memberi kata putus dalam masa terdekat. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram