Haziq Nadzli, bek TFC antara 5 bintang Malaysia dalam misi tambah derita Man United


  • Podium
  • Jumaat, 23 Mei 2025

Penjaga gol Perak FC, Haziq Nadzli akan mengetuai benteng terakhir pasukan Asean All-Stars. — Instagram/haziqnadzli

PASUKAN Asean All-Stars yang akan berdepan Manchester United dalam saingan Maybank Challenge Cup di Stadium Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur pada 28 Mei ini, menampilkan barisan pemain mantap termasuk lima pemain tempatan dari Malaysia.

Sebagai tuan rumah bagi acara terbesar tahun ini, Malaysia menjadi tumpuan utama apabila pemain-pemain kebangsaan bakal berjuang bersama bintang-bintang serantau dan antarabangsa di pentas berprestij tersebut.

Antara pemain tempatan yang terpilih ialah penjaga gol Perak FC, Haziq Nadzli dan pertahanan kanan Terengganu FC, Azam Azmi Murad.

BACA LAGI: Kebajikan pemain lebih penting berbanding sejarah, harapnya Kedah-Perak bangkitlah perlahan-lahan — Zulakbal

BACA LAGI: Rizal Ghazali, ex LWB kongsi perasaan sayu, Sang Kenari tinggal ‘jasa jadi kenangan’

Azam Azmi (kiri) dan Sergio Aguero antara bintang tanah air yang terpilih untuk mewakili Malaysia. 

Selain itu, pertahanan kiri, Declan Lambert dan sayap pertahanan, Adib Abd Raop turut mendapat tempat dalam skuad, menunjukkan gabungan bakat dari pelbagai posisi yang seimbang.

Turut menambah seri pasukan Asean All-Stars ialah pemain tengah menyerang, Sergio Aguero yang membawa pengalaman luas dan daya tarikan tersendiri kepada pasukan tersebut.

Berita pemilihan tersebut mendapat perhatian luas apabila pemerhati sukan tanah air, Zulhelmi Zainal Azam, mengumumkannya di laman X, menegaskan bahawa pemilihan itu bukan sekadar simbolik, tetapi berdasarkan prestasi dan potensi sebenar para pemain.

Di bawah bimbingan jurulatih Kim Sang-sik dari Korea Selatan, yang sebelum ini membawa Vietnam menjuarai Kejohanan Asean 2024, pasukan Asean All-Stars dijangka memberi saingan sengit kepada kelab gergasi Liga Perdana Inggeris (EPL) itu.

Gabungan pemain muda berbakat tempatan dan pengalaman antarabangsa meletakkan harapan tinggi agar perlawanan ini bukan sahaja menjadi pentas pameran, tetapi juga platform pembelajaran untuk pemain Malaysia mengasah kemahiran dan meningkatkan mutu bola sepak negara.

Sebagai makluman, perlawanan istimewa itu adalah sebahagian daripada jelajah pasca-musim Manchester United di Asia, yang bakal berlangsung selepas mereka menamatkan aksi terakhir Liga Perdana Inggeris musim 2024/2025 menentang Aston Villa di Old Trafford pada 25 Mei. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram