
MASALAH pengurusan dialami Perak FC menimbulkan kemungkinan bahawa kelab tersebut bakal dibubarkan pada jendela perpindahan akan datang dengan perkara tersebut masih belum disahkan mana-mana pihak.
Situasi itu menyaksikan beberapa pemain bersedia untuk berkelana pada jendela perpindahan akan datang, lebih-lebih lagi bagi mereka yang masih memiliki masa depan cerah dalam karier.
Ini termasuk bek kiri pasukan, Tommy Mawat Bada yang dilaporkan sudah berada dalam radar pasukan Liga Super lain berdasarkan perkongsian pemerhati bola sepak tempatan, T Avineshwaran di laman X.
BACA LAGI: FAM gantung Arif Aiman, Tommy Mawat 3 perlawanan Liga Malaysia
BACA LAGI: Tommy Mawat boleh main lawan Kedah? GM Perak jelaskan rayuan dilakukan kepada FAM
Tommy Mawat dikatakan berada dalam radar Terengganu FC dan Kuching City FC. — Facebook/Perak FC
Pemain pertahanan berkenaan masih boleh memberikan impak kepada mana-mana pasukan kerana memiliki kebolehan mengekang pihak lawan selain berkebolehan mencipta peluang menerusi situasi bola mati.
"Difahamkan bahawa pemain sayap Perak, Tommy Mawat Bada sedang dipantau oleh Terengganu dan Kuching City. Kedua-dua kelab ini sedang mencari pemain bek kiri dan pemain berusia 29 tahun itu dilihat sesuai dengan keperluan mereka," tulisnya.
Dalam saingan Liga Malaysia musim ini, bek tersebut sudah diturunkan sebanyak 26 kali secara keseluruhan dengan dua gol dan dua bantuan jaringan berjaya dicatatkan.
Pulangan itu sekali gus membantu skuad The Bos Gaurus (TBG) menamatkan saingan Liga Super di tangga ketujuh, namun kemaraan dalam Piala Malaysia dan Piala FA kurang membanggakan.
Bagaimanapun, nilai mampu dibawa Tommy Mawat dalam pasukan tidak boleh dipandang remeh kerana dalam semua penampilannya, dia berjaya mencatatkan tujuh 'clean sheet' buat Perak FC.
Tommy Mawat boleh memberi saingan kepada Alif Zakaria dalam skuad Sang Penyu. — Facebook/Terengganu FC
Gaya permainan lasak dan bersungguh-sungguh kerap dipamerkan itu amat diperlukan Terengganu FC dan Kuching City FC yang masing-masing memerlukan wajah baharu dalam posisi terbabit.
Skuad Sang Penyu yang hanya memiliki Alif Zakaria sebagai pemain pertahanan kiri memerlukan seorang pemain cergas sepanjang musim disebabkan masalah kecergasan dialami tonggak pasukan itu.
Jika dapat membawa masuk bek skuad TBG berkenaan, ia akan membawa nilai kelainan buat pasukan Pantai Timur itu, baik dari segi serangan mahupun pertahanan yang jelas kekurangan musim ini.
Namun, Tommy Mawat pasti lebih tertarik untuk menyertai Kuching City FC kerana pasukan tersebut berada di negeri kelahirannya dengan peluang berkenaan sukar ditolak mana-mana pemain.
Skuad The Cats kini hanya memiliki Arif Fadzilah sebagai bek kiri dengan pemain berkenaan dijangka pulang ke Terengganu FC selepas hanya hadir dengan status pinjaman. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram