‘Ketepikan perbezaan demi selamatkan bola sepak Kedah’


  • Podium
  • Jumaat, 23 Mei 2025

Puaka Jerai (tengah) menyeru orang ramai supaya menghidupkan semula arena bola sepak di Kedah. — Facebook/KDA FC

PENGUMUMAN Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) mengenai pasukan yang menerima lesen kebangsaan bagi saingan Liga Super 2025/26 menerima respons pelbagai daripada peminat.

Ini kerana masing-masing teruja melihat tiga kelab baharu iaitu Melaka FC, Imigresen FC serta Brunei DPMM FC yang masing-masing pasti dapat membawa suasana baharu musim depan.

Bagaimanapun, di sebalik kemeriahan itu, terpalit rasa kecewa kerana dua kelab gergasi tanah air, Perak FC dan Kedah Darul Aman (KDA) FC tidak akan berentap.

BACA LAGI: Dipertikai guna Bunga Matahari, Puaka Jerai perjelas maksud sebenar maskot Kedah

BACA LAGI: Tidak ingin raih populariti, Puaka Jerai ada sebab lain di sebalik kostum bunga matahari

Puaka Jerai sememangnya figura yang amat terkenal dalam kalangan peminat Sang Kenari. Facebook/Puaka Jerai

Keputusan tersebut diambil kerana kedua-dua kelab berkenaan gagal memenuhi kriteria kewangan ditetapkan MFL selepas mereka berdepan masalah dalam aspek itu sepanjang kempen lalu.

Ketiadaan dua pasukan Utara tanah air itu tentu melenyapkan kemeriahan, lebih-lebih lagi buat skuad Sang Kenari yang dahulunya amat digeruni dengan jumlah penyokong cukup kuat.

Namun, dengan kata putus sudah diberikan, penyokong Hijau Kuning hanya boleh menelan hakikat bahawa kelab kesayangan mereka itu sudah terkubur bagi saingan musim depan.

Bagaimanapun, ini tidaklah bermakna KDA FC tidak mahu kembali dengan peminat setia kelab, Puaka Jerai menyeru semua pihak supaya bersatu serta menepikan perbezaan demi kelangsungan pasukan.

Skuad Sang Kenari tidak akan berentap dalam saingan Liga Super musim depan. Facebook/KDA FC

"Di bawah satu bumbung, kita ketepikan fahaman politik, di bawah satu bumbung kita pupuk semangat perpaduan antara satu sama lain. Hanya berwarnakan bendera hijau kuning, kita bersama perjuangkan maruah bola sepak Kedah tanpa kenal erti penat lelah.

"Bola sepak Kedah yang diperjuangkan orang terdahulu perlu dijaga dengan baik. Mereka bersusah payah membentuk sebuah legasi bola sepak Kedah yang penuh dengan sejarah dan kejayaan sebelum ini, jangan biarkan ia lenyap begitu sahaja," tulisnya.

Puaka Jerai atau nama sebenarnya Zulkifli Hashim sememangnya terkenal dalam kalangan peminat Sang Kenari kerana penampilannya yang berasaskan bunga matahari sering memeriahkan Stadium Darul Aman.

Skuad Sang Kenari pernah menjadi antara pasukan bola sepak paling digeruni.

Dia juga sudah lama mengikuti perkembangan pasukan berkenaan sehingga sempat menyaksikan zaman kegemilangan Kedah yang meraih gelaran 'Double Treble' pada 2007 dan 2008.

Tetapi, dia yang berusia 46 tahun tidak juga memadam sokongan terhadap skuad Sang Kenari ketika mereka diuji dengan masalah pengurusan kerana masih hadir ke stadium untuk memberi sorakan.

"Hiburan rakyat negeri Jelapang Padi ialah bola sepak, hanya itu sahaja yang kita ada dengan penuh harapan agar KDA FC jangan sampai terkubur. Jika perlu bermula dari bawah, silakan walaupun pahit untuk ditelan.

"Ingatlah, apa yang berlaku hari ini, jadikan pengajaran untuk hari esok. Untuk mereka yang berniaga mencari sesuap nasi di kaki lima stadium, saya yakin anda juga terkesan dengan apa yang berlaku. Bersabar dan berdoa agar KDA FC masih lagi ada walaupun perlu bermula dari bawah," tulisnya lagi. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram