Tolak tawaran kelab lain, K. Devan kekal terajui NSFC


  • Podium
  • Isnin, 18 Dis 2023

K. Devan kekal kemudi NSFC musim 2024. — Instagram/NSFC

PENGENDALI Negeri Sembilan FC (NSFC) K. Devan, menyatakan hasratnya untuk terus membimbing pasukan itu pada musim hadapan, biarpun turut mendapat tawaran daripada beberapa kelab lain.

Devan berkata, perkara itu telah dinyatakan kepada pengurusan NSFC, termasuk perancangan masa depan sekiranya terus dipilih menerajui skuad berkenaan pada musim 2024.

"Saya tunggu NSFC beri kata putus. Terpulang kepada pihak pengurusan, tapi saya dah beritahu minat saya dan menawarkan diri, saya yakin boleh buat lebih baik daripada apa yang dipersembahkan musim ini. Namun, apa sahaja keputusan NSFC saya terima.

"Ada dua tiga tawaran daripada pasukan lain di Lembah Klang, Utara ada, tapi keutamaan kepada NSFC kerana saya sendiri asal dari Negeri Sembilan,” katanya pada sidang media selepas perlawanan menentang Kuching City FC pada Ahad yang menyaksikan NSFC tewas 4-1.

WhatsApp Image 2023-12-18 at 12.38.14

Sebahagian aksi perlawanan terakhir Liga Super 2023 antara NSFC dan Kuching City. — Facebook/MFL

Skuad Hobin Jang Hobin menamatkan kempen Liga Super musim ini di tangga kesembilan dengan 27 mata.

Mengenai prestasi pasukan itu secara keseluruhan, Devan berkata, pencapaian di tempat kesembilan itu memuaskan, berdasarkan peruntukan diterima sepanjang musim ini, selain turut memuji komitmen diberikan anak buahnya.

"Saya bawa NSFC daripada Liga Premier ke Liga Super, dari segi petunjuk prestasi utama (KPI), saya rasa dah capai. Saya yakin boleh buat lebih baik daripada musim ini dengan bantuan dan sokongan pihak pengurusan,” katanya. — Bernama

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram