
LIGA Bola Sepak Malaysia (MFL) mengumumkan penyelarasan jumlah pendaftaran pemain kepada 30 orang bagi semua kelab, termasuk yang bersaing dalam Liga Juara-Juara AFC Elit (ACLE) dan Liga Juara-Juara Asia 2 (ACL2).
Sebelum ini, kelab yang beraksi dalam dua saingan besar Asia iaitu kejohanan ACLE dan ACL2 dibenarkan mendaftar seramai 34 pemain, manakala kelab lain hanya terhad kepada 32 pemain sahaja.
Dalam kenyataan rasmi yang dikeluarkan pada Khamis, MFL memaklumkan keputusan itu telah dimuktamadkan menerusi Mesyuarat Ahli Lembaga Pengarah Ke-13 Penggal 2021-2025 yang berlangsung pada Rabu.
BACA LAGI: 'Salary cap 80 peratus', MFL perketat disiplin kewangan kelab Liga Super
BACA LAGI: 'MFL perlu hormati keputusan Pahang jika tak sertai liga meski miliki lesen'
Selain itu, mesyuarat berkenaan turut bersetuju untuk membenarkan semua kelab mendaftar maksimum 15 pemain import.
Daripada jumlah itu, sembilan pemain boleh disenaraikan dalam senarai perlawanan, termasuk pemain utama dan simpanan yang terdiri daripada empat pemain terbuka, seorang pemain Asia, dan dua pemain dari negara ASEAN.
"Perubahan kuota import dibuat bagi memberi kesaksamaan kepada semua kelab dalam pendaftaran pemain import serta meningkatkan daya saing Liga Malaysia dengan kehadiran pemain import berkualiti berikutan jendela perpindahan pemain dalam tempoh sama dengan liga-liga besar luar negara.
"Kehadiran pemain import ini akan memberi daya tarikan kepada Liga Malaysia sekali gus meningkatkan nilai komersial Liga Malaysia dan kelab-kelab yang bertanding," jelas MFL pada kenyataan mereka.
Penambahan bilangan pemain import itu jelas menimbulkan respons negatif daripada penyokong tanah air berikutan ia dilihat hanya menutup peluang pemain tempatan untuk mendapatkan minit permainan.
"Liga makin kurang. Pasukan makin sikit. Import makin ramai. Demi kemajuan katanya. Salam takziah pemain tempatan," kata penyokong tempatan, Piang Shankly.
"Kepada kelab-kelab Liga Super yang dihormati, hanya kerana anda boleh mendaftar sehingga 15 pemain import, tidak bermakna anda perlu berbuat demikian," pendapat pengikut bola sepak tanah air, Sengfoo88.
"Semakin teruk peraturan MFL. Ingatkan dah nak berubah bila pelbagai masalah timbul sebelum ini dengan pasukan terpalit masalah gaji, dengan kemerosotan penonton ke stadium. Ini dia buat pula peraturan 15 import dibolehkan dalam satu pasukan. Gila ka ара? Apa halat uju MFL ini?
"Peraturan itu untuk pasukan kaya boleh lah. Kelab sendu gaji sebelum-sebelum ini macam Kelantan Darul Naim, Sri Pahang, Kuala Lumpur City, Negeri Sembilan dan Sabah mampu ke nak beli 15 import nak bersaing dengan pasukan kaya?
"Alamat nanti masalah tak bayar gaji berulang lagi lah. Elok lah Kedah dan Perak tak main musim ni. Ada hikmahnya," ulas penyokong bola sepak tanah air, Michelle Sephia.
Sebelum perubahan ini, kelab ACLE dan ACL2 dibenarkan mendaftar sehingga 12 pemain import dengan komposisi 6+1 (empat pemain terbuka, satu pemain Asia dan dua dari ASEAN), berbanding hanya sembilan pemain import bagi kelab lain. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram