
KEJOHANAN Kelab-Kelab Asean atau Piala Shopee sudah menobatkan wakil Thailand, Buriram United sebagai juara selepas mereka menewaskan Cong An Hanoi di perlawanan akhir.
Dengan kejohanan itu akan berkembang daripada 12 pasukan kepada 14 pasukan bertanding musim depan, saingan pastinya lebih sengit dengan Malaysia masih kekal dengan dua wakil.
Dengan pencapaian wakil negara di kejohanan tersebut musim ini agak mengecewakan, siapakah yang patut dihantar untuk membolehkan Jalur Gemilang berkibar megah di Asia Tenggara?
BACA LAGI: Sri Pahang antara 11 kelab dapat lesen, MFL tolak permohonan Kedah-Perak
BACA LAGI: Tempoh mohon Lesen Kebangsaan dilanjutkan, ‘kelembutan’ MFL undang pro-kontra
Sabah FC
Jika Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) memilih untuk menghantar wakil ke Piala Shopee mengikut kedudukan liga, Sabah FC antara nama wajar diberi pertimbangan.
Dengan dua kedudukan utama diisi oleh Johor Darul Ta'zim (JDT) dan Selangor FC yang bakal mewakili Malaysia di kejohanan anjuran Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC), Sabah seharusnya diberikan slot ke Piala Shopee.
Sabah wajar beraksi di Piala Shopee kerana merit mereka dalam Liga Super.
Sejak beberapa musim, Sabah sering dilihat tampil kompetitif dan mencabar slot atasan Liga Super walaupun sering terlepas peluang ke Asia.
Musim 2024/2025 menyaksikan mereka mendapatkan tempat ketiga dan wajarlah jika mereka diletakkan dalam slot ke Piala Shopee.
Kuching City FC
Tanpa disangka-sangka, Kuching City musim ini mencipta kejutan apabila berjaya mendaki tinggi dalam carta Liga Super sehingga memperoleh tempat keempat.
Kejayaan itu nyata tidak disangka-sangka kerana pada musim 2023, Kuching berada di zon bawahan dan mengalami masalah untuk mendaki carta liga.
Kuching City adalah kelab penuh kejutan musim ini.
Prestasi baik yang dipimpin oleh jurulatih, Aidil Sharin Sahak meraih pujian dengan ramai mula berasakan Kuching adalah kelab berbahaya untuk musim depan.
Dengan kualiti mereka, sambil merit menamatkan Liga Super di kedudukan keempat, MFL wajar menghantar kelab Sarawak itu ke Piala Shopee musim depan.
Johor Darul Ta'zim
Ini mungkin akan menimbulkan pertikaian hebat kerana seperti yang diketahui ramai, JDT merupakan wakil tunggal Malaysia di Liga Juara-Juara AFC Elit (ACLE).
Secara logiknya, sudah pasti JDT seharusnya tidak diperlukan dalam Piala Shopee kerana mereka mahu mengejar gelaran lebih besar berdepan kelab-kelab utama Asia.
JDT boleh ikut langkah Buriram United dan Lion City Sailors beraksi di Piala Shopee dan kejuaraan Asia.
Akan tetapi, Piala Shopee musim ini menyaksikan Buriram United dan Lion City Sailors turut beraksi dalam Piala Shopee walaupun mereka adalah wakil negara masing-masing di ACLE dan Liga Juara-Juara AFC 2 (ACL2).
Jika dilihat pada situasi, tidak terkejut sekiranya JDT mahu beraksi di Piala Shopee. Namun, untuk membuktikan semua kelab Liga Super kompetitif di peringkat antarabangsa, berikan kepada yang lain untuk membawa nama Malaysia. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram