
PERMUSUHAN antara Malaysia dan Thailand dalam sukan sepak takraw sememangnya satu hal diketahui ramai kerana kedua-dua negara itu adalah yang terbaik dari segi gaya permainan serta pencapaian.
Lihat sahajalah dalam saingan Piala Asia Astaf baru-baru ini apabila dua daripada empat acara dimenangi pasukan kebangsaan sementara baki daripadanya milik skuad Gajah Perang.
Saingan sihat di dalam gelanggang itu juga bukanlah sesuatu yang baharu kerana ia sudah disaksikan dari generasi ke generasi dengan setiap pertembungan mereka menjanjikan kemeriahan.
BACA LAGI: [VIDEO] Padam cabaran Oppa, skuad kuadran bersedia hadapi Jepun di final Piala Asia Astaf
BACA LAGI: Piala Asia Astaf: Kelebihan laman sendiri, kualiti pasukan buatkan negara berpeluang cerah
Futra Ghani (kanan) pernah mewakili negara sebanyak beberapa kali sepanjang kariernya.
Hal itu turut diakui jurulatih sepak takraw Malaysia B, Futra Ghani yang baru-baru ini memuat naik klip ketika pertemuan antara Malaysia dan Thailand bertahun-tahun lalu.
Perkongsian dibuat di Facebook itu menyaksikan dia beraksi sebagai perejam atau apit kanan dalam perlawanan yang berlangsung di Vietnam bersempena saingan Sukan SEA 2003.
"Umur 21 tahun, dia panggil Putelanakap. Pertama kali bermain untuk Malaysia," katanya ringkas di ruangan kapsyen.
Namun, tidak dapat dipastikan pasukan manakah yang muncul pemenang memandangkan video berdurasi lebih 27 minit itu tidak berakhir dengan penamat sebenar aksi terbabit.
Meskipun tidak memperolehi maklumat lengkap mengenai pertembungan terbabit, orang ramai masih kelihatan teruja dengan aksi yang menceritakan persaingan sengit antara kedua-dua negara itu.
"Dari dulu lagi, kalau 'killer' atau 'feeder' negara dapat menghalang 'gulung' Thailand, merka pasti akan panik dan kalah. Jadi, kita perlu pandai menghalang sepakan gulung 'killer' Thailand jika mahu menang.
"Tak salah sekiranya kita perbaiki permainan pasukan kita. Tekong dan padu, dah nampak Thailand pun berasa gentar dengan tekong negara," kata Hairi Yahya.
Berdasarkan maklumat dikongsikan ramai, perlawanan itu menyaksikan skuad negara dibarisi Futra, Zahar Ismail sebagai apit kiri sementara Norman Nizam beraksi sebagai tekong.
Kualiti pasukan Thailand dalam aksi berkenaan juga tidak kurang hebatnya kerana mereka dibintangi Poonsak Permsap, Suriyan Peachan serta Suebsak Phunsuep yang masing-masing memiliki reputasi tersendiri dalam sukan sepak takraw. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram