
KEKALAHAN 0-2 di tangan Thailand dalam acara regu berpasukan Kejohanan Piala Asia Persatuan Sepak Takraw Asia (Astaf) di Stadium Titiwangsa, Kuala Lumpur pada Ahad, menyaksikan kemarau kejuaraan Malaysia bagi kategori berkenaan berpanjangan.
Turun dengan misi penting menamatkan penantian panjang selama 34 tahun, pasukan Malaysia terpaksa akur dengan kualiti skuad regu berpasukan Thailand untuk membawa pulang trofi Piala Asia ke tanah air mereka.
Meskipun anak-anak buah Ahmad Jais Baharun tewas dalam acara regu berpasukan itu, pengendali Thailand iaitu Prawet Intra mengakui barisan pemain sepak takraw kebangsaan mempunyai kualiti tersendiri.
BACA LAGI: Malaysia tambah kejuaraan di Titiwangsa, regu takraw kebangsaan menang straight set malukan Thailand
Prawet yang juga bertugas sebagai pengurus pasukan kebangsaan Thailand itu tidak menafikan bahawa Malaysia boleh mencipta kejutan dengan mengatasi mereka dalam acara regu berpasukan dalam Piala Raja Thai pada Jun nanti.
"Sekarang pasukan Malaysia adalah pasukan masa depan yang sangat bagus. Hari ini (Ahad) kami hanya beruntung. Kami beruntung bahawa Thailand mempunyai pemain yang bagus. Saya rasa Malaysia boleh mengatasi Malaysia dalam acara regu berpasukan untuk Kings Cup nanti.
"Sekarang pun Malaysia mempunyai empat orang tekong yang sangat bagus. Sebenarnya kalau dilihat Malaysia mempunyai enam orang pemain yang bagus. Saya sudah memeriksanya," katanya usai final Piala Asia pada Ahad.
Jika diteliti dalam senarai pemain skuad kebangsaan bagi acara regu berpasukan, empat tekong yang bertugas ialah Syahir Rosdi, Zarif Marican Ibrahm Marican, Haziq Hairul Nizam dan Zulkifli Abd Razak.
Dalam pada itu, bercerita mengenai 'kolam' pemain mereka pula, Prawet berkongsi bahawa skuad kebangsaan Thailand kini mempunyai kira-kira 23 orang pemain berkualiti untuk digunakan pada kejohanan.
Barisan kejurulatihan dan pemain skuad regu berpasukan Malaysia. — Facebook/PSM
"Kami telah membuat rancangan, untuk kejohanan di Malaysia, kami akan menggunakan pasukan ini.
"Bulan depan, kami akan mempunyai pasukan sudah disediakan untuk kejohanan di China. Sekarang, kami mempunyai sekitar 23 orang pemain terbaik.
"Sebelum ini, kami mempunyai kejohanan terakhir di India (Piala Dunia Sepak Takraw pada Mac lepas) sekarang di Malaysia dan selepas ini di China. Kami (barisan kejurulatihan) buat pertukaran pemain," jelasnya.
Untuk rekod, skuad kebangsaan Thailand juga menewaskan Malaysia 2-1 dalam acara regu berpasukan pada Piala Dunia 2024 di Stadium Titiwangsa. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram