[VIDEO] 'Selagi tak mati, selagi tidak patah tangan, selagi itu akan berjuang', Azlan Alias tak sanggup lihat kawan sakit


  • Podium
  • Isnin, 19 Mei 2025

Azlan Alias (kanan) memakai anduh selepas perlawanan regu pertama selesai.

SEMANGAT juang perejam utama negara, Mohamad Azlan Alias yang mengabaikan kecederaannya demi lencana di dada menjadi satu perkara paling diingati penyokong tanah air walaupun tewas 0-2 di tangan Thailand pada Ahad.

Tangan Azlan Alias terseliuh ketika melakukan pendaratan pada kedudukan 6-9 pada set pertama untuk regu pertama Malaysia dalam aksi final acara regu berpasukan Kejohanan Sepak Takraw Piala Asia 2025 (Astaf) di Stadium Titiwangsa, Kuala Lumpur.

Meskipun tangan sudah terlalu sakit, apit kanan negara itu masih mahu meneruskan perjuangan kerana tidak mahu membiarkan rakan sepasukan berjuang sendirian bagi memberi tentangan kepada negara Gajah Perang berkenaan.

BACA LAGI: [VIDEO] Badi Thailand masih hantui Malaysia, perjuangan hingga tangan cedera Azlan Alias kekal diingati

BACA LAGI: [VIDEO] Ahmad Jais akui skuad takraw kebangsaan sukar serap serangan konsisten Sittipong, antara punca tersungkur

"Untuk diri saya, selagi saya tidak mati, selagi saya tidak patah tangan, selagi itu saya akan berjuang. Saya tidak boleh tengok kawan-kawan saya sakit. Saya tahan juga. Sebab Malaysia itu penting.

"Kali kedua jatuh. Saya punya fikiran memang ingin keluar pada set kedua tapi saya tetap melawan sebab saya rasa saya boleh. Dengan diri saya, saya rasa saya mampu. Tetapi tidak ada rezeki untuk pasukan ini.

"Sejujurnya, memang betul-betul sakit. Siku saya sudah ke tepi. Memang ada terganggu ketika buat libasan tapi itu bukan alasan. Terima kasih kepada Institut Sukan Negara (ISN) membantu saya," katanya ketika ditemui selepas perlawanan pada Ahad.

Azlan Alias beraksi bersama regu yang turut dibarisi Mohammad Syahir Mohd Rosdi (tekong) dan Amirul Zazwan Azmi (apit kiri) itu tewas 11-15 pada set pertama, sebelum bangkit 15-12 namun kecundang 15-17 dalam pertarungan penuh debar.

Dalam pada itu, Azlan Alias berazam untuk kembali pulih secepat mungkin dalam usahanya membantu skuad negara di Piala Raja Thai pada Julai depan dan Sukan SEA di Thailand pada Disember.

"Layak ke final ini kita dah bersyukur sangat-sangat. Kami dah cuba terbaik untuk pasukan ini. Mungkin belum capai rezeki kami lagi. Mungkin ada tahun ini pada Kings Cup atau Sea Games dan Asian Cup pada tahun depan. InshaaALLAH boleh.

"Dengan usaha saya, saya rasa boleh (sempat pulis sebelum Piala Raja Thai)," tambahnya yang akan mendapatkan pemeriksaan lanjut dan menjalani imbasan untuk menilai tahap kecederaan sebenar. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram