Terlepas takhta UEL ranapkan usaha Man United buru ex striker Man City, lain pula ceritanya dengan peledak Samba


  • Podium
  • Jumaat, 23 Mei 2025

Kekalahan mengecewakan Manchester United di pentas akhir UEL menyulitkan usaha sepanjang pramusim kali ini. — Agensi

KEGAGALAN menjulang Liga Europa UEFA (UEL) musim ini menyulitkan proses Manchester United sepanjang tempoh pramusim, lebih-lebih lagi dalam usaha mendapatkan bintang bertaraf antarabangsa.

Ini kerana skuad The Red Devils gagal melayakkan diri dalam mana-mana kejohanan peringkat Eropah bagi kempen akan datang selepas hanya berada di tangga ke-16 Liga Perdana Inggeris (EPL) ketika ini.

Situasi itu pasti membawa kegusaran kepada pengurus, Ruben Amorim yang sebelum ini bercita-cita besar untuk merombak pasukan dengan membawa masuk nama-nama baharu.

BACA LAGI: Man United perlu jual 4 bintang demi beli Matheus Cunha

BACA LAGI: Kedudukan tak penting, ramai masih mahu bermain untuk Man United — Amorim

Liam Delap mahu beraksi di pentas Eropah bersama kelab baharunya selepas ini. — Agensi

Perubahan besar ketika ini diperlukan dari segi serangan kerana dua penyerang utama, Rasmus Hojlund dan Joshua Zirkzee tidak membawa impak seperti mana diharapkan.

Berdasarkan laporan semasa, Manchester United mahu menggantikan kedua-dua mereka pada musim panas kali ini dengan menandatangani Liam Delap dan Matheus Cunha.

Namun, kegagalan melayakkan diri ke pentas Eropah musim depan memberi tamparan hebat terhadap usaha tersebut kerana skuad The Red Devils tidak mempunyai tarikan sebegitu.

Isu berkenaan difahamkan meranapkan usaha kelab untuk membawa masuk Liam Delap dari Ipswich Town yang sebelum ini diletakkan sebagai sasaran utama Amorim.

Laporan awal musim lalu mengatakan bekas penyerang Manchester City itu mahu menyertai kelab yang beraksi di Eropah musim depan selepas membuktikan kualiti dalam EPL 2024/25 dengan 12 gol dan dua bantuan jaringan dicatatkan setakat ini.

Cunha masih terbuka dengan perpindahan ke Manchester United. — Agensi

Jadi, dengan Manchester United terlepas peluang tersebut, pemain berkenaan difahamkan hanya akan berkelana ke pasukan lain dengan Chelsea juga dilaporkan berminat dengan khidmatnya.

Tetapi, Amorim dan The Red Devils tidak perlu gusar kerana mereka masih berpeluang membawa masuk Cunha yang tidak meletakkan sasaran beraksi ke Eropah sebagai syarat utama perpindahannya.

Peledak Wolverhampton Wanderers itu terdahulu dikatakan sudah terlalu hampir untuk menyertai Manchester United selepas kelab tersebut bersedia membayar £62.5 juta (RM357.3 juta) dalam klausa perpindahan ditetapkan.

Jumlah tersebut juga tidak akan terkesan sekali pun skuad The Red Devils gagal melayakkan diri ke pentas Eropah selepas penyerang kelahiran Brazil itu cukup berminat untuk berkelana.

Sekiranya berjaya mendapatkan khidmat bintang Wolves itu, Manchester United akan berjaya mendapatkan rekrut pertama mereka dengan beberapa nama lain turut berada dalam senarai pasukan. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram