Bintang Liverpool tumpang bangga, pengendali Spurs tak sekadar cakap besar


  • Podium
  • Khamis, 22 Mei 2025

Perlawanan akhir UEFA Europa League menyaksikan Tottenham Hotspurs muncul selaku juara setelah kalahkan Manchester United. — Instagram/spursofficial

PENYERANG Liverpool, Mohamed Salah mencuri perhatian apabila memuat naik hantaran berbaur 'sindiran' yang dipercayai ditujukan kepada penyokong seteru tradisi mereka, Manchester United.

Sindiran tersebut hadir susulan kekalahan Manchester United kepada Tottenham Hotspur dalam perlawanan akhir Liga Europa UEFA (UEL) yang berlangsung di Stadium San Mames, Bilbao pada awal pagi Khamis.

Dalam aksi itu, Spurs meraih kemenangan tipis 1-0 hasil jaringan Brennan Johnson pada separuh masa pertama sekali gus menamatkan kemarau kejuaraan mereka selama 17 tahun.

BACA LAGI: Siapa lagi selain Brunei? MFL masih 'kunci mulut' jumlah sebenar kelab bertanding Liga Super

BACA LAGI: Anak jati Kelantan boleh ikut jejak Elavarasan perkasa Kijang Emas

Ramalan Pengurus Spurs, Ange Postecoglou menjadi kenyataan apabila Tottenham muncul juara Liga Europa UEFA musim ini. — Instagram/spursofficial

Kekalahan itu merupakan kali kedua berturut-turut Manchester United gagal dalam aksi final UEL, selepas tewas kepada Villarreal pada 2021.

Tidak melepaskan peluang untuk ‘menyindir’, Salah dilihat turut menyertai kegembiraan penyokong Liverpool yang meraikan kekalahan musuh tradisi mereka.

Perkara itu dikongsikan oleh bintang Mesir di laman X yang mengucapkan tahniah kepada Spurs atas kemenangan berharga tersebut.

“Dia pernah janji akan menang musim kedua. Tahniah di atas pencapaian itu!," tulisnya.

Walaupun ringkas, hantaran tersebut dipercayai merujuk kepada kenyataan Pengurus Spurs, Ange Postecoglou yang pernah berjanji pada September lalu bahawa dia akan membawa pulang trofi ke kelab itu dalam musim keduanya.

Ramalan tersebut ternyata menjadi kenyataan apabila Tottenham muncul juara Liga Europa UEFA musim ini.

Kejayaan itu juga menandakan gelaran ketiga Spurs dalam kejohanan tersebut, selepas kali terakhir meraihnya pada musim 1971–1972 dan 1983–1984 ketika ia masih dikenali sebagai Piala UEFA. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram