
PERTEMBUNGAN epik dinanti-nantikan penyokong Tottenham Hotspur dan Manchester United pada Khamis apabila kedua-dua kelab tersebut bakal bertemu di pentas akhir Liga Europa UEFA (UEL).
Perjalanan berliku-liku diharungi dua wakil England tersebut di pentas Eropah musim ini dengan kejuaraan tersebut mampu memadam derita peminat yang menyaksikan kesukaran pasukan-pasukan itu di peringkat domestik.
Manchester United sudah tentu mengidamkan kejuaraan itu memandangkan ia dapat meletakkan mereka dalam Liga Juara-Juara UEFA (UCL) musim depan sementara Spurs mahu menjulangnya bagi menamatkan penantian 17 tahun tanpa trofi.
Trofi UEL musim ini menjadi rebutan antara Manchester United dan Tottenham Hotspur. — Agensi
Bagaimanapun, kekecewaan terlebih dahulu melanda peminat The Red Devils apabila analisis menggunakan superkomputer mendapati Tottenham mempunyai peluang lebih besar untuk menjuarainya.
Berdasarkan 10,000 simulasi dilakukan agensi media antarabangsa, mereka mendapati pasukan kendalian Ange Postecoglou itu mempunyai kemungkinan 50.3 peratus untuk menjuarai UEL kali ini.
Kemungkinan itu diperolehi menerusi rekod pertembungan kedua-dua kelab itu sepanjang kempen 2024/25 yang menyaksikan Spurs mencatatkan tiga kemenangan dengan dua daripadanya disaksikan dalam saingan Liga Perdana Inggeris (EPL).
Tetapi, angka daripada analisis superkomputer tersebut mengecil kerana pasukan terbabit mengalami kehilangan beberapa pemain seperti Dejan Kulusevski, Lucas Bergvall serta James Maddison.
Manchester United mempunyai kenangan dan pengalaman manis di pentas UEL. — Agensi
Namun, Manchester United yang memiliki kemungkinan mencecah 49.7 peratus turut hadir dengan kelebihan tersendiri kerana mereka lebih berpengalaman setiap kali melangkah ke pentas akhir pertandingan peringkat Eropah.
Daripada tujuh perlawanan yang disertai skuad The Red Devils mereka memenangi empat daripadanya, termasuk dalam pertembungan menentang AFC Ajax pada 2017 yang berakhir dengan kejayaan buat kelab England terbabit.
Tidak cukup dengan itu, Manchester United hadir dengan keyakinan dalam perlawanan tersebut selepas menyaksikan kepulangan pemain utama seperti Leny Yoro serta Joshua Zirkzee yang sebelum ini bergelut dengan isu kecergasan.
Ramalan sedemikian sudah tentu akan menghangatkan lagi aksi epik antara kedua-dua pasukan berkenaan yang mahu menjulang kejuaraan tersebut di Stadium San Mames, Sepanyol. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram