
MESKIPUN jendela perpindahan musim panas masih belum dibuka, Liverpool kini sedang sibuk menyelesaikan beberapa proses rundingan dalam usaha memperkuatkan pasukan dari segi serangan mahupun pertahanan.
Setakat ini, skuad The Reds dilaporkan sudah berjaya menandatangani bek kanan dari Belanda, Jeremie Frimpong secara percuma bagi mengisi kekosongan ditinggalkan Trent Alexander-Arnold.
Pasukan kendalian Arne Slot itu turut dikaitkan dengan pertahanan sayap kiri, Milos Kerkez yang beraksi cemerlang buat Bournemouth dalam usaha mencari pengganti jangka masa panjang buat Andy Robertson.
BACA LAGI: Disebut ke kelab Manchester, Liverpool sedia 'sailang' minit akhir bintang Bayer Leverkusen
BACA LAGI: Man United dahului saingan sambar prospek terhangat Jerman
Frimpong bakal menjadi antara pemain terawal bakal menyertai skuad The Reds pada musim panas ini. — Agensi
Sekiranya kedua-dua pemain tersebut dapat dibawa masuk, tidak mustahil buat Liverpool terus memberi saingan dalam Liga Perdana Inggeris (EPL) dan Liga Juara-Juara UEFA (UCL) musim depan.
Bagaimanapun, urusan skuad The Reds difahamkan tidak terhenti di situ kerana baru-baru ini, mereka dikaitkan dengan pemain tengah menyerang sensasi, Florian Wirtz yang beraksi buat Bayer Leverkusen.
Dalam saingan Bundesliga musim ini, bintang muda tersebut terlibat dalam 31 perlawanan dengan 10 gol dan 13 bantuan jaringan dicatatkan dalam membantu pasukannya menamatkan kempen di tangga kedua.
Namun, reputasinya menjadi bualan ramai pada saingan 2023/24 selepas pemain berusia 22 tahun itu mencetak 11 gol dan 12 bantuan jaringan untuk memastikan Bayer Leverkusen menjuarai liga buat kali pertama dalam sejarah kelab.
Wirtz menjadi buruan pelbagai kelab sekitar Eropah selepas beraksi cemerlang buat Bayer Leverkusen. — Agensi
Persembahan konsisten dan membanggakan itu membuatkan pasukan gergasi sekitar Eropah cukup berminat dengan khidmatnya, terutamanya Liverpool yang sedang berusaha menajamkan lagi barisan serangan mereka.
Malah, berdasarkan laporan semasa, juara EPL 2024/25 itu juga seperti berada dalam posisi terbaik untuk menyambar Florian Wirtz berbanding pencabar lain seperti Bayern Munich dan Real Madrid.
Manchester City sebelum ini dilaporkan amat berminat dengan pemain antarabangsa Jerman terbabit, namun terpaksa menarik diri kerana khuatir akan permintaan dari Bayer Leverkusen akan memberi tekanan hebat terhadap struktur kewangan pasukan.
Berdasarkan laporan semasa, nilai pasaran Florian Wirtz mencecah €140 juta (RM676.8 juta) dengan kontraknya hanya akan berakhir pada Jun 2027 yang pasti memberi kekhuatiran terhadap Liverpool. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram