
PENGURUS Manchester United, Ruben Amorim menegaskan dia tidak akan meletak jawatan meskipun pasukannya gagal menamatkan musim dengan tempat ke Liga Juara-Juara selepas tewas 0-1 kepada Tottenham Hotspur dalam perlawanan akhir UEFA Europa League di Bilbao, Sepanyol pada Khamis.
Dalam sidang media selepas perlawanan, pengurus dari Portugal itu menjawab persoalan wartawan mengenai kedudukannya selepas kekalahan tersebut sekali gus menutup pintu terakhir Manchester United untuk layak ke pentas Eropah musim hadapan.
"Pada ketika ini, saya tidak akan berdiri di sini untuk mempertahankan diri saya.
BACA LAGI : Lepas 7 bulan Ten Hag pergi, penyerang sayap Man United akhirnya kongsi pengalaman pahit
BACA LAGI : [VIDEO] Terlepas gelaran liga saat-saat akhir, bekas penyerang 'flop' Man United mengamuk tampar kamera
"Itu bukan gaya saya, saya tak mampu buat begitu. Ia amat sukar bagi saya. Saya tiada apa-apa untuk ditunjukkan kepada penyokong," katanya.
Amorim yakin beliau masih merupakan calon terbaik untuk membimbing United keluar daripada kemelut prestasi semasa, meskipun pasukannya baru sahaja mengalami kekalahan menyakitkan kepada Tottenham Hotspur dalam perlawanan akhir Liga Europa (UEL), di samping mencatatkan musim terburuk dalam sejarah kelab di saingan Liga Perdana Inggeris (EPL).
"Saya tidak mempunyai apa-apa untuk ditunjukkan kepada penyokong ketika ini, jadi semuanya bergantung kepada kepercayaan.
"Saya sentiasa terbuka. Jika lembaga pengarah dan penyokong merasakan saya bukan orang yang tepat, saya akan berundur keesokan harinya tanpa sebarang perbincangan tentang pampasan.
"Namun, saya tidak akan meletakkan jawatan," katanya.
Tottenham Hotspur menamatkan kemarau trofi sejak tahun 2008 dengan menjuarai Liga Europa selepas menewaskan Manchester United. — Agensi
Ketika ditanya mengenai kesan kekalahan itu terhadap masa depan kelab yang kini berada di tangga ke-16 Liga Perdana Inggeris (EPL) menjelang perlawanan terakhir musim ini, Amorim enggan membuat sebarang spekulasi.
"Itu tentang masa depan, saya tidak akan bercakap tentang masa depan. Saya hanya akan bercakap tentang kekalahan dan kesakitan kerana kalah dalam perlawanan ini.
"Saya berkongsi kesedihan dengan penyokong kami. Mereka layak mendapat yang lebih baik. Kami akan cuba segalanya untuk masa depan, kita akan lihat apa yang akan kami lakukan.
"Kita perlu faham bahawa ia sangat sukar bagi kelab seperti kami untuk tidak berada dalam Liga Juara-Juara. Tapi kita perlu ambil sisi positifnya.
"Kami akan ada lebih banyak masa untuk berfikir, bekerja sepanjang minggu, dan menjadi lebih baik dalam Liga Perdana. Itu akan menjadi fokus kami," ujarnya lagi.
Dalam ulasan mengenai perlawanan akhir itu, Amorim percaya skuad bimbingannya tampil lebih baik berbanding lawan, namun tetap gagal memecahkan kebuntuan.
"Kami adalah pasukan yang lebih baik tetapi sekali lagi gagal menjaringkan gol," ujar dia yang turut mempertahankan keputusannya memilih Mason Mount dalam kesebelasan utama, berbanding Alejandro Garnacho.
"Berapa kali kita dah berbincang perkara ini dan keputusannya sebaliknya?
"Ada pemain seperti Mason Mount yang masuk ketika menentang Bilbao dan mengubah perlawanan.
"Jadi sekarang senang untuk cakap 'siapa yang terlepas peluang besar dalam separuh masa pertama menentang Bilbao?' Ya, [ia adalah Garnacho].
"Saya hanya melihat permainan dan cuba menguruskannya, menambah baik pasukan dan cuba menang perlawanan. Saya boleh lihat dari kedua-dua sudut," katanya.
Manchester United bakal mengakhiri musim dengan perlawanan terakhir Liga Perdana hujung minggu ini, dengan tekanan kini semakin memuncak ke atas Amorim susulan kegagalan mencapai sasaran Eropah. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram