
BEKAS jurulatih Harimau Malaya yang kini bersama-sama kelab Indonesia, Datuk Ong Kim Swee berpeluang untuk memenangi gelaran jurulatih terbaik Liga 1 selepas disenarai pendek untuk pengiktirafan tersebut.
Kim Swee yang menyelamatkan Persis Solo daripada terjatuh ke Liga 2 Indonesia menjadi satu daripada enam calon untuk gelaran tersebut yang didominasi oleh lima pengendali luar negara.
Mantan jurulatih Sabah FC itu akan perlu menewaskan pengendali Persib Bandung, Bojan Hodak yang berjaya membantu kelab itu meraih gelaran Liga 1 dua musim berturut-turut.
BACA LAGI: Berjaya selamatkan Persis Solo, Kim Swee pasang impian kekal di Indonesia semusim lagi
BACA LAGI: Mungkin ke Persis Solo, Ong Kim Swee kongsi ada hubungi Saddil Ramdani
Bojan Hodak merupakan calon pilihan untuk meraih gelaran jurulatih terbaik Liga 1.
Pengendali itu akan berdepan Jan Olde Riekerink (Dewa United), Angel Alfredo Vera (Madura United) dan Bernardo Tavares (PSM Makassar) untuk gelaran itu.
Dalam masa yang sama, dia juga akan berdepan Imran Nahumarury (Malut United) yang merupakan satu-satu calon tempatan.
Kredibiliti Kim Swee sebagai jurulatih sememangnya terbukti apabila dia berjaya mengeluarkan Persis yang berada di zon penyingkiran hingga ke kedudukan ke-13.
Kim Swee memastikan kelabnya menghasilkan sembilan kemenangan, sembilan seri dan 15 kekalahan sambil mengutip 36 mata.
Pengendali kelahiran Melaka itu baru-baru ini menzahirkan rasa untuk terus kekal di Persis selepas mengharungi kempen yang dianggap berjaya buat kelab tersebut. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram