Tempoh mohon Lesen Kebangsaan dilanjutkan, ‘kelembutan’ MFL undang pro-kontra


  • Podium
  • Rabu, 30 Apr 2025

Sebelum ini, MFL memberi tempoh sehingga 30 April untuk kelab-kelab menyelesaikan proses permohonan Lesen Kebangsaan.

LIGA Bola Sepak Malaysia (MFL) berbaik hati memberi tempoh lanjutan kepada kelab-kelab yang bersaing dalam Liga Super untuk menyelesaikan permohonan Lesen Kebangsaan untuk musim 2025/26.

Sebelum ini, kelab-kelab diberi tempoh sehingga 30 April untuk menyelesaikan proses permohonan Lesen Kebangsaan untuk musim 2025/26 namun ia dilanjutkan hingga 10 Mei 2025 sebagai tarikh akhir. 

Menerusi kenyataan Pengerusi Jawatankuasa First Instance Body (FIB), Sheikh Mohd Nasir Sheikh Mohd Sharif berkata, tindakan itu dibuat selepas menerima beberapa permohonan daripada kelab untuk melanjutkan tarikh akhir bagi memuatnaik dokumen Pelesenan Kelab. 

BACA LAGI: Sama seperti Kedah gagal dapat lesen AFC, fans khuatir Terengganu turut terpalit masalah gaji

BACA LAGI: Pernah dikaitkan ke Utara tanah air, bek muda Terengganu dalam radar kelab negara jiran

"Jawatankuasa FIB bersetuju untuk memberikan lanjutan masa bagi kelab melengkapkan semua dokumen untuk Pelesenan Kelab Kitaran 2024 - 2025 bagi Lesen Kebangsaan di dalam sistem pelesenan AFC CLAS.

"Pihak FIB bersetuju untuk menetapkan 10 Mei 2025 sebagai tarikh akhir bagi kesemua kelab Liga Super melengkapkan dokumentasi pelesenan yang masih belum lengkap.

"Pihak FIB berharap dengan lanjutan masa diberikan ini dapat menyelesaikan segala dokumentasi yang berkenaan pada tarikh yang telah ditetapkan," katanya memetik kenyataan pada Rabu. 

Meskipun keputusan MFL itu memberi talian hayat kedua kepada kelab-kelab yang memohon, ia bagaimanapun dilihat tindakan terlalu 'memanjakan' pasukan-pasukan yang mempunyai banyak masalah. 

Musim 2024/2025 menyaksikan beberapa kelab daripada 13 yang bersaing dalam Liga Super dilanda masalah kewangan hingga menyaksikan tunggakan gaji menimpa pemain serta kakitangan pasukan. 

"Punca masalah ialah MFL. MFL tidak tegas. Kelab dah tidak mampu bayar gaji, jangan benarkan mereka sertai Liga Super musim 2025-2026," komen penyokong bola sepak domestik, Ttu Tigers Ayer Keroh.

"MFL tidak tegas, sebab itu masalah tunggakan gaji tidak pernah selesai. Pemain yang tidak dapat gaji boleh dakwa MFL sekali sebab tidak tegas dan benarkan kelab yang berhutang bertanding dalam liga," komen penyokong, Idzuan Latif.

"MFL kena berlembut juga, kalau berkeras kelab dalam Liga Malaysia ini dah tidak banyak. Macam mana pula nak buat liga selepas itu," pendapat penyokong, Shahid Romli yang menyokong dengan tindakan badan pengelola tersebut. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram