Tak cukup dapatkan khidmat bek Penang, pencabar baharu Liga Super sambar anak didik Kim Swee


  • Podium
  • Rabu, 21 Mei 2025

Ramadhan (kiri) berpeluang menimba pengalaman bersama Kim Swee yang mengendalikan kelab Indonesia itu. — Facebook/Persis Solo

KEPUTUSAN beberapa kelab tempatan mengundur diri dari saingan Liga Super musim depan menyaksikan Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) memperkenalkan pasukan baharu yang dijemput dari negara luar.

Setakat ini, laporan kuat mengatakan wakil dari Brunei, DPMM FC akan hadir menyertai pertandingan tersebut meskipun badan pengelola tersebut belum memberi kata putus mengenainya.

Tetapi, melihat kepada perkongsian di laman sesawang rasmi kelab, mereka dilihat semakin hampir untuk berada dalam kancah Liga Super, lebih-lebih lagi selepas menandatangani Fairuz Zakaria yang baru-baru ini dilepaskan Penang FC.

BACA LAGI: Dilepaskan Penang FC, bekas MOTM masa lawan TFC kini intai peluang bersama NSFC

BACA LAGI: [VIDEO] Hanya kerana kena kad merah berdepan Kedah, keluarga Fairuz Zakaria jadi sasaran cacian

Fairuz Zakaria (kiri) menjadi antara pemain terbaru buat DPMM FC bagi musim depan. Facebook/Penang FC

Jelas kelab berkenaan, bek kiri tersebut akan didaftarkan sebagai pemain lokal bagi saingan tersebut musim depan yang membuktikan skuad kendalian Jamie McAllister itu sedang sibuk mempersiapkan diri.

Bagaimanapun, usaha DPMM FC tidak terhenti di situ kerana baru-baru ini, mereka dilaporkan turut berjaya menandatangani bintang dari Indonesia, Ramadhan Sananta yang kini beraksi buat Persis Solo di negara kelahirannya.

"Ramadhan bersetuju untuk menyertai DPMM FC bagi mengisi kuota pemain Asean. Dia mengesahkan ada menerima beberapa tawaran dari kelab gergasi sekitar Indonesia, namun pilihan utamanya adalah untuk beraksi buat DPMM FC," tulisnya.

Musim ini, kelab berpangkalan di Brunei tersebut beraksi dalam Liga Perdana Singapura dengan mereka berada di tangga keenam dengan hanya satu aksi berbaki, namun mereka masih sibuk berentap dalam saingan Piala Singapura.

Ramadhan akan mewarnai saingan Liga Super bersama DPMM FC musim depan. Facebook/Persis Solo

Pengalaman diraih sepanjang beraksi di liga itu diharapkan mampu menaikkan tahap kompetitif Liga Super yang terpalit pelbagai kemelut beberapa musim kebelakangan ini, terutamanya dari segi pengurusan.

Ramadhan boleh dikatakan sebagai antara bakat besar dalam kalangan 'ubi muda' sekitar Asia Tenggara selepas mencipta debut seawal usia 20 tahun dalam saingan Liga 1 Indonesia untuk Persikabo 1973.

Potensi cerah dimilikinya kemudian terus diasah setelah menyertai PSM Makassar tiga tahun lalu sebelum memilih untuk beraksi buat Persis Solo bermula musim lalu yang mengembangkan lagi kebolehannya.

Malah, musim ini, penyerang berkenaan berpeluang menimba pengalaman di bawah kendalian Datuk Ong Kim Swee yang sudah tentu memberi sedikit tunjuk ajar mengenai liku-liku bola sepak tempatan.

Untuk rekod, Ramadhan mencatatkan lima gol dan dua bantuan jaringan buat Persis Solo dalam saingan Liga 1 Indonesia 2024/25 dengan catatan itu menjadi tarikan buat DPMM FC menandatanganinya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram