
'KEMERIAHAN Liga Super musim depan dijangka merosot akibat masalah kewangan'.
Itulah gambaran yang kini menghiasi kancah bola sepak tanah air, terutamanya selepas pendedahan mengejut daripada Pemangku Sultan Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim baru-baru ini.
Tunku Ismail atau lebih dikenali sebagai TMJ, menguatkan spekulasi bahawa dua kelab bersejarah Liga Malaysia, Kedah Darul Aman FC dan Sri Pahang FC dijangka terkubur musim depan.
BACA LAGI: 'Malas bising-bising', TMJ sahkan Hector Hevel bintang warisan HM
BACA LAGI: 'Bantu Persis elak penyingkiran,' Kim Swee Jurulatih Terbaik Mingguan Liga 1 Indonesia
Prof Madya Dr Zulakbal Abd Karim.
Namun, pemilik KDA FC, Tan Sri Dr Mohd Daud Bakar tampil menafikan kenyataan tersebut sambil menjelaskan bahawa KDA FC akan terus beraksi dan berjuang untuk kekal dalam saingan liga domestik.
Dengan tersebarnya khabar angin ini, ramai penyokong berpendapat sudah tiba masanya Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) menjemput lebih banyak kelab luar negara untuk menyertai Liga Super musim depan.
Cadangan itu disambut baik oleh Prof Madya Dr Zulakbal Abd Karim, yang melihatnya sebagai langkah positif dalam memajukan bola sepak tanah air.
"Saya rasa ini adalah perkara yang baik kerana ada beberapa pasukan seperti Kedah, Pahang dan Kelantan dikhabarkan tidak ada lagi musim depan.
"Oleh itu, wajarlah kita menjemput pasukan-pasukan dari negara jiran untuk menyertai liga kita. Saya rasa mereka pun berminat untuk bermain di negara kita.
"Pasukan dari Singapura, Thailand, Vietnam, Indonesia dan Brunei boleh dijemput dan ada dari pasukan itu sebelum ini pun tidak pernah bermain di sini, jadi ini adalah peluang baik.," katanya kepada Majoriti.
Brunei DPMM dilaporkan sah akan kembali semula ke kancah Liga Super.
Zulakbal berkata, dengan kehadiran kelab dari luar negara, corak permainan dan kualiti kelab tempatan akan berkembang dengan lebih baik.
"Mungkin sebelum ini ada negara tidak diberi peluang, namun, keadaan kini memerlukan kita untuk menjemput mereka dan jika perlu, kita boleh melakukannya tanpa masalah.
"Oleh itu, kita perlu menjadi lebih kuat. Apabila kita kuat, saingan dalam liga juga akan semakin sengit. Kelab-kelab kita yang terus kekal dalam liga perlu meningkatkan prestasi mereka.
"Secara tidak langsung, kehadiran mereka dan sokongan penyokong akan memberi peluang kepada kita untuk memperbaiki lagi prestasi liga dan persatuan. Inilah peluang besar untuk kita terus berkembang," ujarnya.
Menurutnya lagi, kehadiran kelab dari luar dijangka memberikan impak positif dalam perkembangan liga untuk menjadikannya lebih berdaya saing.
"Saya fikir terdapat banyak aspek yang boleh memberi impak positif, terutamanya dalam perkembangan teknologi dengan kehadiran kelab luar negara.
"Pertama, kita dapat melihat bagaimana kelab luar mengendalikan teknologi dan masalah yang mereka hadapi, serta bagaimana mereka menguruskan pasukan. Sebagai contoh, JDT sendiri dahulu belajar daripada Buriram dalam usaha membina pasukan," jelasnya.
Buriram United berjaya mencuri slot ke suku akhir ACLE.
Mengambil contoh pasukan yang berjaya mara ke suku akhir Liga Juara-Juara AFC Elite (ACLE), Buriram United, Zulakbal percaya aura yang dibawa oleh jaguh Thailand itu, jika beraksi di tanah air akan membawa perubahan drastik kepada setiap kelab.
"Bayangkan jika Buriram masuk ke liga kita, kita dapat mempelajari banyak aspek daripada mereka, termasuk teknologi, pengurusan, psikologi pemain, pemakanan dan sebagainya.
"Kehadiran kelab luar ini juga memberi peluang untuk kita memperbaiki permainan dan menarik minat penonton.
"Sebagai contoh, kita dapat belajar cara mereka menjadikan permainan lebih menarik dan dinamik, berbanding permainan yang mungkin dirasakan terlalu perlahan dan membosankan pada awalnya.
"Dengan kehadiran mereka, kita dapat meningkatkan variasi permainan dan menjadikannya lebih menarik," tambahnya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram