Berbanding wakil Brunei, ada kelab Jepun-Singapura sesuai jadi kelab jemputan Liga Super


  • Podium
  • Sabtu, 15 Mac 2025

Brunei menerusi kelabnya iaitu Brunei DPMM akan kembali ke Liga Super?

SAINGAN Liga Super belum melabuhkan tirainya, kecoh dalam kalangan penyokong bola sepak tanah air mengenai khabar angin Brunei DPMM FC dilaporkan akan menyertai semula Liga Malaysia (Liga M) pada musim 2025/2026. 

Menurut sumber Majoriti sebelum ini, Brunei DPMM yang pernah beraksi di Liga Super dilaporkan sedia untuk kembali semula ke saingan tempatan dengan mereka bersedia meninggalkan Liga Perdana Singapura (SPL).

Meskipun tiada kenyataan rasmi dari Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) dan Brunei DPMM namun ia sudah menerima pelbagai reaksi dari penyokong dengan ramai daripada mereka menyambut baik khabar berita tersebut. 

BACA LAGI: ‘Pasukan jemputan dalam Liga Super beri peluang kelab lain belajar, terap gaya permainan menarik’

BACA LAGI: 'Malas bising-bising', TMJ sahkan Hector Hevel bintang warisan HM

Kehadiran kelab berpangkalan di Borneo tanah air itu adalah untuk menggantikan Kedah Darul Aman FC (KDA FC) dan Sri Pahang FC yang dijangka tidak beraksi dalam Liga M pada musim hadapan susulan masalah dalaman yang dihadapi.

Kehadiran semula DPMM FC dalam Liga Malaysia bukan sahaja mengimbau nostalgia era lalu tetapi juga berpotensi meningkatkan mutu persaingan dan menarik minat lebih ramai penyokong bola sepak di rantau ini.

Selain Brunei DPMM FC, terdapat lagi dua pasukan yang dilihat sesuai untuk menjadi kelab jemputan untuk saingan Liga M pada musim depan.

1) Lion XII 

 

Lions XII pernah merangkul gelaran Liga Super pada 2013. — Agensi

Lions XII adalah pasukan yang pernah beraksi dalam Liga Malaysia dari 2012 hingga 2015 dan berjaya mencipta sejarah dengan menjuarai Liga Super Malaysia pada tahun 2013 serta Piala FA Malaysia pada tahun 2015. 

Penyertaan Lions XII akan memperkenalkan gaya permainan berbeza, yang boleh menguji keupayaan pasukan Malaysia dan sekali gus akan meningkatkan kualiti perlawanan untuk saingan Liga M nanti. 

Selain itu, kehadiran LionsXII boleh menghidupkan kembali rivalry klasik ini, yang pastinya akan menarik lebih banyak penyokong ke stadium dan meningkatkan semangat persaingan sihat antara dua negara jiran.

Jika MFL memilih untuk menjemput mereka, ia pasti akan menimbulkan keterujaan buat kedua-dua negara kerana penyokong Singapura juga merindukan saat-saat pasukan mereka bermain di Liga Malaysia.

2) Albirex Niigata (S) 

Albirex Niigata.

Albirex Niigata (S) ialah kelab berpangkalan di Singapura yang merupakan cawangan sebuah lagi pasukan dengan nama yang bersaing di Jepun.Mereka telah mendominasi Liga Perdana Singapura (SPL) dengan beberapa kejuaraan sejak 2016. 

Albirex sudah biasa dengan sistem liga luar Jepun kerana sudah beraksi di negara tersebut sejak 2004 dengan pelbagai kejayaan dikecapi, termasuk menamatkan saingan liga tanpa sebarang kekalahan kira-kira lapan musim lalu.

Pasukan itu membuktikan mereka boleh menyesuaikan diri dengan format liga yang berbeza, termasuk Liga Malaysia yang merupakan destinasi terbaik sekiranya mereka tidak lagi mahu berentap di Singapura.

Bukan itu sahaja, Albirex juga mempunyai penajaan dan hubungan dengan syarikat Jepun. Kehadiran mereka boleh menarik lebih banyak penaja antarabangsa ke Liga M, meningkatkan publisiti liga di peringkat Asia, serta menarik peminat bola sepak Jepun dan Singapura.

Jika dilihat secara umumnya, Albirex Niigata sememangnya boleh menjadi kelab jemputan menarik untuk Liga Malaysia kerana tahap kejurulatihan, daya saing, dan hubungan antarabangsa mereka. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram