
LIGA Bola Sepak Malaysia (MFL) tidak menolak kemungkinan menjemput kelab luar negara untuk bersaing dalam saingan Liga Super musim 2025/2026, kata Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) MFL, Mohd Shazli Shaik Mohd.
Bagaimanapun, beliau menjelaskan bahawa proses kelulusan untuk menerima penyertaan kelab luar negara adalah rumit dan perlu melalui beberapa peringkat sebelum sebarang keputusan dimuktamadkan.
Mohd Shazli menjelaskan bahawa kelab luar negara perlu membuat permohonan kepada Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) sekiranya mahu menyertai Liga Malaysia (Liga M) pada musim depan atau bila-bila masa.
BACA LAGI: 'Kami kena check semula', MFL respons dakwaan kelab Lembah Klang palsukan dokumen mohon lesen
BACA LAGI: MFL terbuka jemput kelab luar negara meriahkan Liga M
Kenyataan itu hadir susulan spekulasi mengenai minat kelab Brunei DPMM untuk kembali bertanding dalam Liga Super, yang berpotensi melengkapkan jumlah 14 pasukan bagi musim depan.
Khabar angin pasukan luar negara bakal memeriahkan saingan domestik juga disambut baik oleh pemerhati sukan tanah air, Afiq Rowley yang berpendapat bahawa kelab berkenaan akan memainkan peranan untuk memeriahkan saingan liga.
"Kena lihat juga wajar daripada segi apa. Tapi untuk memeriahkan saingan liga, ia dianggap bagus tatkala kebanyakan pasukan lain dilihat 'hidup segan mati tak mahu' dari segi prestasi semasa.
"Sudah tentu (akan mengurangkan kebergantungan MFL terhadap kelab tempatan) dengan pelbagai masalah yang dihadapi kelab lokal sejak beberapa musim lalu, MFL mungkin boleh reda sikit untuk aksi-aksi mendatang menerusi kaedah dibuat mereka kini," katanya kepada Majoriti.
Brunei menerusi kelabnya iaitu Brunei DPMM antara pasukan luar negara yang dikaitkan akan kembali ke Liga Super?
Afiq juga melihat kemasukan pasukan jemputan seperti Brunei DPMM sebenarnya membuka peluang kepada pemain khususnya 'ubi muda' untuk menyertai pasukan berkenaan demi kelangsungan karier.
Masalah kewangan yang tidak berkesudahan boleh membunuh minat pemain muda untuk terus bermain bola. Oleh itu, kemasukan kelab dari luar negara boleh memberi mereka pilihan lain untuk meneruskan karier.
Beberapa kelab Liga Super musim ini dilaporkan mengalami masalah kewangan.
"Sebenarnya, ia juga menjadi peluang buat pemain tempatan lain untuk memancing minat kelab-kelab luar yang menyertai saingan domestik musim akan datang.
"Ada atau tidak, ia tak mengubah mengenai peluang buat pemain tempatan lain. Bagi saya, ia lebih baik kan untuk pemain tempatan lain cari peluang mewakili kelab luar tatkala kelab-kelab di Malaysia ada yang mula mengundur diri disebabkan isu kewangan," jelasnya.
Untuk rekod, kehadiran kelab jemputan mula disebut-sebut selepas Kedah Darul Aman (KDA) FC dan Sri Pahang FC dikatakan merupakan kelab Liga Super yang akan menarik diri daripada beraksi pada musim depan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram