Sibuk sepanjang pramusim, Nidzam Jamil sertai CEO NSFC tonton aksi di Stadium Bandaraya


  • Podium
  • Rabu, 21 Mei 2025

Nidzam yang cukup berpengalaman dalam Liga Super menjadi sasaran Negeri Sembilan FC.

SEJAK digugurkan Selangor FC pada pertengahan musim 2024/25, Nidzam Jamil berkali-kali dikaitkan dengan Negeri Sembilan FC yang mengalami masalah prestasi cukup mengecewakan.

Ini kerana perubahan barisan kejurulatihan dilakukan kelab itu tidak membuahkan hasil dengan K Nanthakumar gagal mengubah nasib buruk membelenggu sejak kehadiran Azzmi Aziz.

Jadi, dalam usaha mengubah perkara itu, pihak pengurusan kelab dilaporkan berminat mendapatkan khidmat Nidzam yang berpengalaman dalam Liga Super bersama Selangor FC dan Felda United.

BACA LAGI: Nidzam Jamil dikhabar ke NSFC, 3 pemain termasuk 'midfielder 'JDT boleh sertai pulihkan skuad Jang

BACA LAGI: Kelibat Nidzam Jamil dan legenda Jang di Paroi, selangkah selamatkan NSFC?

Nidzam Jamil (baju hitam) hadir menyaksikan perlawanan bersama Faliq di Stadium Bandaraya.

Khabar angin itu pada awalnya muncul kerana jurulatih berusia 45 tahun itu beberapa kali dikesan menyaksikan skuad Jang beraksi di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Negeri Sembilan musim lalu.

Kesanggupannya untuk hadir ke hari perlawanan itu menimbulkan spekulasi bahawa kononnya dia sedang mengesan perubahan perlu dilakukan untuk mengembalikan pasukan tersebut ke landasan tepat.

Malah, baru-baru ini, ura-ura tersebut semakin kuat kedengaran selepas Nidzam dikesan meluangkan masa bersama ketua pegawai eksekutif (CEO) kelab, Faliq Firdaus di Stadium Bandaraya, Pulau Pinang.

Hantaran tersebut dimuat naik ejen kepada pengendali tersebut, Joe Berbatov dengan mereka difahamkan sedang menyaksikan perlawanan Piala Presiden melibatkan pasukan muda Negeri Sembilan FC.

Nidzam Jamil (bertopi) sudah beberapa kali menyaksikan perlawanan di Stadium Tuanku Abdul Rahman.

Bagaimanapun, tidak dapat dipastikan bilakah foto itu diambil kerana kali terakhir skuad muda Jang bertandang ke Stadium Bandaraya adalah pada awal Mei lalu yang berkesudahan seri tanpa jaringan.

Kesungguhan dipamerkan Nidzam diharapkan mampu mengembalikan kelab tersebut ke landasan terbaik selepas mereka menamatkan saingan Liga Super musim lalu di tangga ke-12 selain ditunjukkan jalan keluar awal dari dua saingan domestik lain.

Setakat ini, Negeri Sembilan FC dilaporkan sibuk dalam mempersiapkan skuad lebih baik dengan laporan mengatakan beberapa pemain sudah berada dalam senarai rekrut, termasuk Luqman Hakim Shamsudin serta Azri Ghani.

Perancangan jangka masa panjang kelab tidak terhenti di situ kerana pihak pengurusan juga sedang menyiapkan pusat latihan baharu bagi memastikan infrastruktur kelab terus maju ke hadapan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram