
SERAMAI 22 pemain dilepaskan Penang FC memasuki musim 2025/26 dengan keputusan tersebut menjadi gambaran bahawa skuad Harimau Kumbang bersedia melakukan rombakan berskala besar.
Antara yang diumumkan tidak akan lagi bersama kelab Utara tanah air itu adalah Sikh Izhan Nazrel dan Richmond Ankrah yang bakal kembali ke pangkuan Selangor FC sementara Syamer Kutty Abba memilih untuk pulang ke Johor Darul Ta'zim (JDT).
Jadi, pelepasan secara besar-besaran itu membuka ruang buat mana-mana kelab Liga Super untuk menyambar mereka yang berstatus ejen bebas dengan Fairuz Zakaria menjadi yang terawal meraih kelab baharu.
Bagaimanapun, dengan landskap bola sepak tempatan yang semakin kritikal ketika ini, sukar buat bintang dari Penang FC meneruskan karier, lebih-lebih lagi jika kebolehan mereka tidak cukup membanggakan.
Ini kerana kualiti masing-masing pernah dipertikaikan sebelum ini memandangkan prestasi skuad Harimau Kumbang amat mengecewakan kerana kerap menjadi pasukan belasahan beberapa musim kebelakangan ini.
Namun, berdasarkan pemerhatian Majoriti, masih terdapat pemain cukup baik dalam kalangan 22 nama yang dilepaskan dengan beberapa kelab Liga Super perlu segera mendapatkan khidmatnya pada jendela perpindahan kali ini.
1. Rahmat Makasuf (Terengganu FC)
Harapan besar dirasakan dalam kalangan penyokong Penang FC selepas kelab berkenaan berjaya menandatangani pemain sayap, Rahmat Makasuf dari Terengganu FC secara kekal pada Februari tahun lalu.
Ini kerana pemain kelahiran Terengganu berkenaan pernah dilabel sebagai bakat baharu tanah air kerana memiliki kepantasan dan kelincahan yang mampu memberi nilai bermakna dari segi serangan.
Bagaimanapun, hal sebaliknya dapat disaksikan kerana penyerang berusia 27 tahun terbabit gagal meninggalkan impak besar buat skuad Harimau Kumbang setiap kali diberikan minit permainan.
Rahmat boleh kembali mewarnai skuad Sang Penyu musim depan. — Facebook/Penang FC
Isu tersebut dapat disaksikan musim lalu apabila Rahmat hanya mencatatkan satu gol daripada 13 penampilan secara keseluruhan dengan isu konsistensi menghalangnya daripada beraksi lebih kerap.
Jadi, dengan khidmatnya tidak lagi diperlukan Wan Rohaimi Wan Ismail musim depan, adalah lebih baik sekiranya dia segera mencari destinasi baharu segera dengan skuad Sang Penyu menjadi destinasi terbaik.
Terengganu FC yang menamatkan saingan di kedudukan kelima Liga Super sudah tentu memerlukan penyerang sayap baharu dengan Rahmat yang memahami gaya permainan di Pantai Timur merupakan antara pilihan sesuai dimilikinya.
2. Nabil Ahmad Latpi (Negeri Sembilan FC)
Dalam usaha menyelesaikan ketumpulan jentera serangan, Penang FC bertindak menyambar tonggak PDRM FC, Nabil Ahmad Latpi dari PDRM FC musim lalu kerana penyerang tersebut memiliki rekod cukup baik.
Berdasarkan rekod bersama skuad Sang Saka Biru pada 2023, dia mencatatkan lima gol secara keseluruhan dengan kelab gergasi tempatan menjadi 'mangsa' pemain itu seperti Sabah FC dan Selangor FC.
Nabil masih boleh memberi ancaman sebagai seorang penyerang. — Facebook/Penang FC
Tetapi, sepanjang semusim beraksi di Utara tanah air, peledak berusia 32 tahun itu gagal mempamerkan impak terbaik selepas kerap mensia-siakan peluang selain terlalu mudah kehilangan penguasaan.
Hasil mengecewakan itu menyaksikannya berada dalam senarai 22 pemain dilepaskan Penang FC dengan destinasi baharunya belum dipastikan, namun Negeri Sembilan FC yang juga melakukan rombakan dilihat sebagai destinasi terbaik.
Skuad Jang yang tidak memiliki penyerang lokal prolifik boleh mendapatkan khidmat Nabil yang masih boleh menjadi ancaman di barisan hadapan dengan syarat bantuan berterusan dapat diberikan kepadanya.
3. Azmeer Aris (Kuching City FC)
Musim lalu, Kuching City FC merupakan antara pasukan terbaik dari segi pertahanan apabila mereka hanya melepaskan 28 gol dalam saingan Liga Super dengan ia adalah rekod keempat terbaik.
Bagaimanapun, perubahan perlu dilakukan pada jendela perpindahan kali ini kerana kelab Borneo tanah air tersebut tidak memiliki pertahanan sayap kiri sekiranya Arif Fadzilah pulang ke pangkuan Terengganu FC.
Azmeer turut dilepaskan skuad Harimau Kumbang selepas bergelut dari segi prestasi. — Facebook/Penang FC
Jadi, dengan Penang FC melepaskan lambakan pemain, skuad The Cats perlu segera mencari bek di posisi tersebut dengan Azmeer Aris merupakan antara pilihan terbaik dimiliki setakat ini.
Dia yang pernah bekerjasama dengan Aidil Sharin Sahak di Kedah untuk beberapa musim sudah tentu memahami permintaan jurulatih Kuching City FC itu sekiranya mereka kembali bergabung.
Meskipun dia jarang diturunkan, ia tidak akan menjadi alasan kepada pengendali dari Singapura tersebut untuk memandang rendah akan kebolehannya yang masih boleh diasah sepanjang tempoh pramusim. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram