Nidzam Jamil dikhabar ke NSFC, 3 pemain termasuk 'midfielder 'JDT boleh sertai pulihkan skuad Jang


  • Podium
  • Sabtu, 22 Mac 2025

Setakat 21 perlawanan, NSFC merekodkan tiga kemenangan, empat seri dan selebihnya mencatat kekalahan. —

WALAUPUN musim 2024/2025 belum berakhir, Negeri Sembilan FC (NSFC) sudah awal memberi bayangan mahu menjadi pasukan yang memberi cabaran pada musim baharu Liga Malaysia (Liga M) nanti. 

Berbaki tiga perlawanan lagi, skuad Jang Hobin Jang seperti tidak sempat untuk memulihkan kedudukan mereka yang kini berada pada tangga ke-12 liga. Setakat 21 perlawanan, NSFC merekodkan tiga kemenangan, empat seri dan selebihnya mencatat kekalahan.

Oleh itu, bagi membetulkan kesilapan musim ini, pihak pengurusan NSFC sudah awal membuat rancangan untuk melantik jurulatih baharu dengan nama Nidzam Jamil dipetik menerajui pembaharuan Negeri Sembilan.

BACA LAGI: Misi selamatkan Pahang, fans terdesak mahu Alif Syukri jadi penaja Tok Gajah

BACA LAGI: [VIDEO] Insiden baling botol: TMJ, JDT sedia terima denda berat AFC, ingatkan fans terbuka terima kekalahan

Masakan tidak, sejak beberapa perlawanan terakhir pasukan itu, pengendali berusia 45 tahun tersebut dilihat sering turun ke Paroi. Ia jelas menguatkan spekulasi Nidzam akan menjadi pengendali NSFC. 

Nidzam dilihat sebagai individu yang mampu memberikan impak positif kepada Negeri Sembilan untuk memperbaiki kedudukan dalam carta liga. Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) kelab, Faliq Firdaus menafikan dakwaan bakal melantik bekas jurulatih Selangor tersebut.

Jika benar bekas pengendali Gergasi Merah itu ke Paroi, beberapa perubahan mungkin berlaku dengan tiga nama pemain sesuai dipanggil memperkuatkan Negeri Sembilan pada musim 2025/2026:

1) Luqman Hakim Shamsudin 

Luqman Hakim boleh mengembalikan prestasinya jika menyertai NSFC. — Instagram/LuqmanHakim

Bekas peledak Harimau Muda, Luqman Hakim Shamsudin dikhabarkan akan kembali mewarnai saingan Liga Malaysia selepas hampir lima tahun berkelana di Eropah termasuk mewakili kelab Jepun, Yokohama SCC.

Negeri Sembilan wajar menghampiri Luqman Hakim untuk menyertai pasukan berkenaan bagi menggunakan kemahirannya di bahagian serangan. Skuad Jang kini hanya mempunyai A.Selvan dan Ricardo Pires untuk diharapkan. 

Meskpun sudah lama tidak diberikan peluang bermain, Luqman Hakim diyakini masih mempunyai kelajuan dan ketajaman di hadapan gawang untuk menambah jumlah jaringan pasukan berkenaan pada musim depan. 

Selain itu, dari sudut pemasaran dan komersial, kehadiran Luqman Hakim dijangka memberi nilai tambah kepada NSFC. Dengan reputasi sudah dikenali, penyertaannya dalam pasukan boleh menarik lebih banyak penaja serta meningkatkan kehadiran penyokong di stadium.

2) Khuzaimi Piee 

Khuzaimi dinasihati kembali ke skuad Jang untuk mengumpul minit permainan. — Facebook/SelangorFC

Perpindahan pertahanan tengah Selangor FC, Khuzaimi Piee ke Gergasi Merah pada musim 2023 tidak membawa perubahan yang baik untuk kariernya susulan dia tidak mengumpul minit permainan secukupnya. 

Sepanjang dua musim menyarung jersi Merah Kuning, Khuzaimi hanya merekodkan 19 penampilan dalam semua pertandingan sahaja untuk Selangor. Prestasi merudum itu menyebabkan bek berusia 31 tahun itu tidak lagi mendapat panggilan skuad kebangsaan. 

Justeru itu, Khuzaimi dinasihatkan kembali ke bekas kelabnya iaitu Negeri Sembilan untuk mengembalikan keyakinannya sebagai seorang pemain. Sebagai seorang pemain yang berdisiplin dan berpengalaman, dia mampu menjadi pemimpin di bahagian pertahanan. 

Kemahirannya dalam membaca permainan dan melakukan bentesan tepat bakal memberi kestabilan kepada barisan pertahanan NSFC, yang sebelum ini menghadapi cabaran dalam mengekang serangan lawan. 

3) Nazmi Faiz

Nazmi boleh membantu memperkukuh bahagian tengah NSFC. — Facebook/JDT

Tonggak tengah Johor Darul Ta'zim (JDT), Nazmi Faiz masih diberikan peluang bermain sebagai pemain gantian. Ia bagaimanapun tidak mencukupi untuk menstabilkan kariernya dan menjadi antara central midfielder terbaik tanah air.

Disebabkan itu, jika Nazmi berhijrah ke Negeri Sembilan, dia bukan sahaja membantu memperkukuh bahagian tengah mereka, malah meningkatkan kreativiti serta kawalan permainan pasukan. 

Sebagai seorang pemain tengah yang berpengalaman, Nazmi mempunyai keupayaan hebat dalam merancang serangan dan mengawal tempo permainan. Keupayaannya melakukan hantaran tepat serta visi permainan yang baik dapat membantu penyerang NSFC mendapatkan lebih banyak peluang jaringan.  

Nazmi boleh menjadi contoh kepada pemain muda dalam pasukan. Pernah beraksi di luar negara ketika usia muda serta menjadi sebahagian daripada skuad kebangsaan, dia memiliki mentaliti profesional yang boleh dikongsikan kepada rakan sepasukan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram