
PEMILIK Johor Darul Ta'zim (JDT), Tunku Mahkota Ismail Sultan Ibrahim, yakin bahawa saingan Liga Malaysia masih mampu diteruskan walaupun dua pasukan legenda, Sri Pahang FC dan Perak FC tidak akan menyertai musim 2025/26, lapor Stadium Astro.
Dalam satu temu bual eksklusif bersama pemerhati sukan tanah air, Zulhelmi Zainal Azam, Tunku Mahkota Ismail yang juga Pemangku Sultan Johor, menegaskan bahawa liga akan tetap berjalan dengan penyertaan pasukan-pasukan yang sedia ada.
“Liga akan sentiasa berjalan. JDT akan sentiasa ada. Anda tidak boleh memusnahkannya. Jadi, bagi saya, ini seolah-olah satu bentuk berputus asa," kata baginda.
BACA LAGI: [VIDEO] Dua musim bermakna bersama Sabah FC, Telmo Castanheira akhirnya tinggalkan The Rhinos
Musim baharu Liga Malaysia yang dijadual bermula tidak lama lagi menimbulkan kebimbangan apabila beberapa pasukan dilaporkan sedang bergelut dengan isu kewangan.
Perak dan Sri Pahang menjadi dua kelab utama yang telah membuat pengakuan terbuka untuk tidak beraksi musim depan.
“Kalau kena main dengan tujuh pasukan sahaja atau hanya main empat kali satu liga, kami tetap akan meneruskannya.
“Kalau kita lihat di Jerman, Itali, Perancis, tetap ada kelab yang mendominasi liga, namun pasukan lain masih bersaing dengan semangat tinggi.
"Begitu juga di Thailand, Buriram United mungkin paling berjaya, tetapi pasukan lain tidak tarik diri, malah terus mencabar dan bersaing,” tegas Tunku Mahkota Ismail.
Tunku Mahkota Ismail atau lebih dikenali sebagai TMJ itu turut menyuarakan rasa kecewa terhadap mentaliti sesetengah pihak yang dilihat cepat mengalah apabila berdepan cabaran.
“Saya sebenarnya malu dengan penetapan minda seperti ini, terutama apabila negara jiran sedang memerhati perkembangan bola sepak tanah air,” tambah baginda.
Difahamkan, Sri Pahang dan Perak telah menghantar permohonan lesen kelab kepada Liga Bola Sepak Malaysia (MFL), namun tidak berjaya.
Ini bermakna Liga Super musim depan bakal diteruskan dengan pasukan-pasukan sedia ada, dan dijangka turut melibatkan penyertaan Melaka, Imigresen serta Brunei. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram