
NEGERI Sembilan FC akhirnya mendapat kemenangan ketiga dalam saingan Liga Super selepas berjaya menumpaskan Kedah Darul Aman (KDA) FC dengan keputusan 2-0 di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, Seremban, Negeri Sembilan pada Rabu.
Hasil jaringan dari Harith Samsuri pada minit ke-40 dan Selvan Anbualagan yang berjaya menambah gol kedua usai memanfaatkan bola hantaran lintang daripada Hein Htet Aung pada minit ke-85 cukup memberi tiga mata buat pasukan berkenaan.
Kemenangan itu bagaimanapun tidak memberi kesan dari segi kedudukan pasukan itu dalam carta liga apabila kekal di tangga kedua tercorot dengan mengumpul 15 mata, lima mata di belakang Sri Pahang.
BACA LAGI: Masih percaya kudrat K. Nathakumar, CEO Negeri Sembilan nafi Nidzam Jamil kemudi The Jangs
BACA LAGI: Jika benar mahukan Nidzam Jamil, TFC perlu 'ikat' sebelum Piala Malaysia
Situasi terbabit pastinya menimbulkan perasaan kurang senang penyokong skuad Jang yang sekurang-kurangnya mengharapkan pasukan bimbingan K Nanthakumar dapat 'melarikan' diri daripada berada dalam kelompok tiga tercorot.
Dengan lima perlawanan berbaki, pihak pengurusan nampaknya juga seperti sudah membuat sesuatu untuk Negeri Sembilan apabila dikhabarkan akan menggunakan kepakaran bekas pengendali Selangor FC, Nidzam Jamil.
Sejak digugurkan Selangor FC pada 30 Oktober lepas, pengendali berusia 44 tahun terbabit sudah berkali-kali kelihatan menonton perlawanan secara langsung di Stadium Tuanku Abdul Rahman termasuk aksi menentang skuad Hijau Kuning.
Perkara tersebut dikongsikan di laman penyokong Negeri Sembilan FC, State of Nine FC yang memuat naik sekeping gambar memaparkan Nidzam hadir bersama seseorang dipercayai rakannya dan kelibat Zaquan Adha turut kelihatan.
Walaupun ia sekadar sekeping foto, ramai penyokong mengharapkan agar Nidzam dan Zaquan boleh bekerjasama untuk membantu menaikkan reputasi Negeri Sembilan. Sekalipun bukan musim ini, penyokong berharap permulaan baharu untuk skuad Rusa pada musim depan.
Sepanjang karier kejurulatihannya, Nidzam hanya beberapa musim menimba pengalaman dalam Liga Super, iaitu ketika bersama Felda United sebelum dilantik Selangor FC awal musim lalu.
Nidzam (tengah) bersama individu mirip Zaquan (kiri).
Malah, ketika bersama skuad Gergasi Merah, dia berjaya membuktikan kebolehannya dengan membawa pasukan itu kekal di kedudukan kedua Liga Super selain beraksi cemerlang dalam Liga Juara-Juara AFC (ACL) Two.
Manakala, Zaquan pula memang dikenali sebagai legenda skuad Jang apabila memulakan kariernya bersama Negeri Sembilan dan mengakhiri perjalanannya sebagai pemain bola sepak juga di kelab tersebut.
Selain Negeri Sembilan, Zaquan yang kini aktif sebagai pundit bola sepak juga pernah menyarung jersi Perak, KDA FC, Johor Darul Ta'zim, Kuala Lumpur dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM). — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram