Pernah disebut pengganti Corbin Ong, bek kiri Jerman kini sebaris Bellingham, bintang Leeds


  • Podium
  • Rabu, 21 Mei 2025

Zehnter (kiri) pernah disebut sebagai pelapis kepada Corbin Ong dalam Harimau Malaya.

SEHINGGA hari ini, terdapat lambakan pemain yang beraksi di Eropah dikaitkan sebagai nama baharu sebagai bintang warisan skuad kebangsaan dengan ada daripadanya tidak lebih dari satu penipuan atas talian.

Ini termasuk kapten Burnley, Josh Brownhill serta Kiernan Dewsbury-Hall yang masing-masing gagal membuktikan pertalian darah meyakinkan untuk menyarung jersi Harimau Malaya.

Namun, sekiranya ditanya peminat setia bola sepak tempatan, mereka sudah tentu tidak dapat melupakan nama Aaron Zehnter yang pernah disebut-sebut sebagai calon pengganti Corbin Ong.

BACA LAGI: Aaron Zehnter pengganti ideal Corbin Ong

BACA LAGI: [VIDEO] Segera contohi Indonesia, FAM jangan tunggu lama risik 4 bintang muda di Eropah

Zehnter pernah disebut-sebut sebagai bek kiri warisan baharu buat Harimau Malaya. Agensi

Dia yang beraksi buat SC Paderborn dalam divisyen kedua Jerman pernah dikatakan mempunyai hubungan kekeluargaan sehingga membolehkannya mewakili skuad kebangsaan jika meraih kepercayaan barisan kejurulatihan.

Bagaimanapun, sehingga hari ini, tiada sebarang laporan kukuh mengatakan bek kiri berusia 20 tahun itu layak beraksi buat Harimau Malaya, sekali gus menjadi satu lembaran baharu dalam senarai penipuan bola sepak tempatan.

Tetapi, sekiranya skuad kebangsaan dapat mengerah khidmat Zehnter, ia akan menjadi satu penambahan berkualiti kerana baru-baru ini, bakatnya diakui portal bola sepak antarabangsa, Sofa Score.

Dalam satu hantaran di Instagram, mereka menyatakan pemain pertahanan berkenaan berpotensi besar dalam kalangan 'ubi muda' yang beraksi dalam divisyen kedua sekitar Eropah.

Lebih membanggakan lagi, produk akademi Wurzburger itu diletakkan sebaris dengan nama-nama besar seperti Jobe Bellingham yang merupakan adik kepada bintang Real Madrid, Jude Bellingham.

Selain itu, Zehnter yang mencatatkan 30 penampilan buat SC Paderborn musim lalu itu turut dikatakan sebagus bintang Leeds United, Wilfried Gnonto selepas berjaya membawa pasukan terbabit ke Liga Perdana Inggeris (EPL).

Kegagalan mengerah khidmat pemain tersebut mendesak Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) mencari pemain baharu yang boleh beraksi sebagai bek kiri untuk mengisi kekosongan bakal ditinggalkan Corbin Ong.

Namun, setakat ini, pengendali pasukan negara, Peter Cklamovski seperti tidak berdepan masalah dalam tugasan tersebut kerana sudah mempunyai Ryan Lambert atau Adib Ra'op yang masing-masing memiliki kelebihan tersendiri. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram