Tajam depan gol berstamina 'kuda', hebatnya Rodrigo Holgado bukan biasa-biasa


  • Podium
  • Rabu, 21 Mei 2025

Hold bakal memberikan angin baharu dalam barisan penyerang Harimau Malaya.

HARIMAU Malaya bakal menikmati penyerang baharu apabila pemain warisan iaitu Rodrigo Holgado turun membantu pasukan ketika aksi kelayakan Piala Asia 2027 berdepan Veitnam 10 Jun kelak.

Namun begitu, siapakah Holgado ini? Penyerang berusia 30 tahun kelahiran Buenos Aires, Argentina itu dilihat bakal menjadi teraju penting kepada serangan negara.

Mari kita singkap bagaimana corak permainannya dan bagaiaman ia boleh memberi manfaat kepada Harimau Malaya.

BACA LAGI: Ada darah Malaysia menerusi nenek, Rodrigo Holgado bakal ketuai serangan HM jumpa Vietnam

BACA LAGI: Tiga import Pahang 'out', Tok Gajah intai 2 pemain lokal

Tajam depan gol

Salah satu kelebihan dimiliki oleh Holgado adalah pemain itu mempunyai naluri penyudah yang baik apabila mempunyai peluang memboloskan gol lawan.

Begitu efektif ketika berada dalam kotak penalti lawan, Holgado yang dominan dengan kaki kanan turut boleh menggunakan kedua-dua kaki dengan baik.

Holgado tajam di depan gol.

Menariknya, penyerang itu bukan saja terhad kepada satu-satu corak penyudah. Sebaliknya, Holgado mahir dalam menjaringkan gol menerusi tandukkan, rembatan leret kencang serta penyudah satu sentuhan (one-touch finish).

Oleh itu, tidak hairan jika dia mempunyai rekod jaringan yang baik bersama kelab semasa iaitu CD America di Liga Colombia dengan tujuh gol dalam 15 perlawanan.

Raja bola di udara

Selain tajam di depan gol, Holgado merupakan seorang pemain yang mempunyai ciri-ciri fizikal yang baik dan mampu menyukarkan pertahanan lawan.

Antara kualiti yang ketara adalah kemampuannya memenangi perebutan bola di udara. Dengan ketinggian 1.8 meter, Holgado bukanlah pemain yang dianggap begitu tinggi. Namun begitu, kualiti lompatannya membuatkan pemain itu mampu menewaskan pertahanan lain ketika situasi perebutan bola di udara.

Holgado mampu menewaskan pertahanan lawan ketika perebutan bola di udara.

Selain itu, kekuatan fizikalnya menjadikan Holgado seorang target man yang baik. Ketenangannya mengawal bola semasa ditekan pihak lawan mampu membantu pemain tengah untuk datang menolong barisan serangan.

Kekuatan fizikal Holgado juga membolehkan dia mengajak pihak lawan untuk melakukan kekasaran sekali gus membolehkan pasukan mendapat sepakan percuma.

Stamina 'kuda'

Satu perkara penting yang ada pada kualiti Holgado adalah tangki staminanya yang besar. Senang kata, dia mempunyai stamina 'kuda'.

Stamina tinggi yang dimiliki Holgado membuatkan dia mudah untuk melakukan kerja-kerja menekan pihak lawan dari bahagian serangan. Ia sangat penting kerana bola sepak moden memerlukan penyerang melakukan tekanan kepada pertahanan lawan bagi memperoleh bola.

Holgado juga merupakan seorang pemain yang rajin. Dia dilihat tidak kisah untuk membantu pertahanan dengan turun ke bawah selain melakukan larian tanpa bola untuk mengelirukan pihak lawan.

Secara asanya, Holgado dilihat sebagai pemain yang mengujakan. Diharapkan, dia dapat mengisi taktikal Peter Cklamovski dengan baik. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram