
PERUBAHAN sekali lagi disaksikan dalam kem Harimau Malaya menjelang aksi menentang Cape Verde pada 29 Mei dan perlawanan berdepan Vietnam pada 10 Jun selepas penjaga gol, Rahadiazli Rahalim terpaksa diketepikan.
Berdasarkan kenyataan dikeluarkan di laman media sosial Malaysia NT, penjaga gawang Terengganu FC itu akan digantikan Sikh Izhan Nazrel yang beraksi buat Penang FC secara pinjaman dari Selangor FC musim lalu.
Meskipun tidak menyatakan punca sebenar di sebalik pengunduran berkenaan, ramai sudah dapat menjangkakan sekiranya Rahadiazli terpaksa melupakan hasrat beraksi buat Harimau Malaya akibat kecederaan.
BACA LAGI: 'Jangan bunuh semangat dia', Badrul Afzan minta penyokong TFC terus sokong Rahadiazli
BACA LAGI: Dah tiba masa ganti Ifwat, KDA FC antara 3 kelab patut sambar Rahadiazli
Ini kerana bagi kempen 2024/25, penjaga gol berusia 23 tahun tersebut hanya mencatatkan 11 penampilan dalam semua kejohanan dengan barisan kejurulatihan skuad Sang Penyu sering melakukan penggiliran dalam posisi itu.
Perubahan kerap itu dikatakan terpaksa dilakukan kerana Rahadiazli serta seorang lagi penjaga gawang pasukan, Suhaimi Husin dibelenggu masalah kecederaan yang sedikit menyaksikan benteng pertahanan Terengganu FC rapuh.
Sikh Izhan dipanggil untuk menggantikan Rahadiazli yang terpaksa menarik diri. — Instagram/JIM GK Goalkeeper Gloves
Pengendali Harimau Malaya, Peter Cklamovski sebelum ini menyenaraikan Rahadiazli dalam senarai empat penjaga gol di samping Syihan Hazmi, Azri Ghani, Haziq Nadzli serta Syed Nasrulhaq bagi dua perlawanan itu.
Sikh Izhan yang dipinjamkan ke Utara tanah air pula hanya diletakkan dalam senarai bersedia di samping 'ubi muda' Johor Darul Ta'zim (JDT), Christian Abad yang sah bergelar pemain warisan baharu negara.
Namun, Cklamovski lebih tertarik untuk memanggil penjaga gol Selangor FC itu dengan pengalaman serta minit permainan diraih dalam Liga Super cukup bagi barisan kejurulatihan skuad kebangsaan mengukur kebolehannya.
Difahamkan, Sikh Izhan sudah mencatatkan penampilan sulung buat Harimau Malaya dalam aksi persahabatan menentang Papua New Guinea pada Jun 2023 dengan perlawanan itu berakhir dengan kemenangan besar 10-0.
Bagaimanapun, angka itu boleh meningkat sekiranya statistik ketika saingan Piala AFF turut dikira dengan dia pernah beberapa kali dipanggil ke dalam pasukan negara kerana memiliki potensi cerah. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram