[VIDEO] Segera contohi Indonesia, FAM jangan tunggu lama risik 4 bintang muda di Eropah


  • Podium
  • Sabtu, 27 Apr 2024

Harimau Muda berada di kedudukan tercorot Kumpulan D tanpa mengutip sebarang mata. — Facebook/FAM

INDONESIA terus mencipta kejutan luar biasa apabila menewaskan Korea Selatan menerusi penentuan sepakan penalti selepas terikat 2-2 untuk mara ke separuh akhir Piala Asia B-23 (Bawah 23 tahun) di Qatar pada awal pagi Jumaat.

Penjaga gol Garuda Muda, Ernando Ari muncul wira pasukan Asia Tenggara itu selepas menafikan dua sepakan penalti bagi mengakhiri cabaran Young Taegeuk Warriors, 11-10 selepas kedua-dua pasukan terikat 2-2 dalam aksi suku akhir 120 minit.

Kejayaan Indonesia itu berjaya membuatkan seluruh negara cemburu kerana Harimau Muda bukan sahaja terkandas di peringkat kumpulan malah gagal mengutip sebarang mata.

Ini sekali gus membuatkan orang ramai mendesak agar Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) mengikuti jejak langkah Persatuan Bola Sepak Indonesia (PSSI) dalam mencari pemain-pemain warisan berkualiti untuk mewakili skuad muda negara.

Menurut info yang dikongsikan @frfuturetalents ramai pemain kacukan berusia B-23 dipercayai mempunyai kaitan dengan negara ini namun kesahihannya masih belum dikenalpasti.

Majoriti senaraikan empat pemain warisan muda B-23 yang kini sedang beraksi di Eropah:

BACA LAGI: Media Indonesia lapor Kelantan minat sambar Marselino Ferdinan

1. Jason van Duiven (19 Tahun)

Mempunyai pengalaman beraksi di Liga Belanda, Jason van Duiven antara prospek penyerang terbaik untuk mewakili Harimau Muda dan Harimau Malaya di masa akan datang.

Sejak memulakan karier bola sepak secara profesional pada 2020, Jason telah menjaringkan 49 gol dan 14 assist dalam 95 penampilan terakhirnya.

Musim terbaiknya pada musim 2022/23 ketika mewakili kelab gergasi Belanda, PSV Eindhoven B-21 apabila meledak 15 gol dalam 34 penampilan.

Bukan sahaja mampu beraksi di posisi penyerang, Jason pernah bermain sebagai pemain sayap kiri dan kanan dan musim ini Almere City menjadi destinasi baharu bintang muda berketinggian 1.75 meter.

2. Robin van Duiven (18 Tahun)

Kalau Jason sudah menunjukkan potensi yang bagus, pasti adiknya, Robin van Duiven juga mengikut jejak langkah abangnya itu.

Untuk info, Jason van Duiven dan Robin ialah adik beradik dan mereka dua menjadi 'regular starter' buat skuad nasional Belanda di peringkat remaja.

Bersama skuad PSV Eindhoven B-18, Robin yang turut beraksi di posisi penyerang berjaya menjaringkan empat gol dalam lapan penampilan terakhir.

Robin turut mempunyai pengalaman beraksi dalam UEFA Youth League iaitu sebuah kejohanan seperti Liga Juara-Juara Eropah (UCL) tetapi ia khusus untuk pemain muda.

Adakah kita akan dapat menyaksikan gandingan Jason dan Robin bersama Harimau Muda? Harap FAM segera melakukan risikan ke atas dua pemain berpotensi besar ini.

3. Aaron Zehnter (19 Tahun)

Jarang untuk kita melihat skuad kebangsaan mempunyai pemain kacukan berdarah Jerman, tetapi kehadiran Aaron Zehnter bakal memberikan sesuatu kelainan buat Harimau Malaya.

Zehnter yang baru berusia 19 tahun memiliki pengalaman tinggi apabila melakukan 11 penampilan dalam liga divisyen kedua Jerman bersama SC Paderborn dan merekodkan satu gol serta dua 'assist'.

Pemain sayap kiri itu juga pernah mewakili skuad muda Jerman dan sudah beraksi untuk beberapa buah kelab seperti FC Augsburg yang kini berada di divisyen tertinggi Liga Jerman.

Nilai pasaran semasa Zehnter lebih tinggi iaitu mencecah lebih RM3 juta manakala Arif Aiman hanya bernilai lebih RM2 juta mengikut rekod laman sesawang Transfermarkt.

BACA LAGI: [VIDEO] Wakil Brunei dapat tonik harung SAC2024 sebelum jumpa Selangor lepas belasah kelab China

4. Alfie Chang (21 Tahun)

Pemain yang beraksi bersama Birmingham City di Liga Kejuaraan, Alfie James Chang turut layak mewakili negara selepas berketurunan Malaysia menerusi ibu bapa sebelah bapanya.

Musim ini tidak banyak boleh ditampilkan oleh Alfie kerana mengalami kecederaan di bahagian lutut sehingga merencatkan aksinya di atas padang.

Pemain tengah Birmingham City itu telah merekodkan 35 penampilan dalam kesemua kejohanan disertai kelab dari Birmingham, United Kingdom (UK) itu.

Corak permainan Alfie mirip Brendan Gan yang gemar bermain sebagai 'box to box midfielder' mencari ruang buat pasukan untuk melakukan serangan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram