
WALAUPUN pertaruhan tinggi dan persaingan sengit namun pemain tengah kebangsaan, Syamer Kutty Abba tetap bersemangat dan bersedia menghadapi cabaran tersebut.
Pemain berusia 27 tahun itu merupakan salah seorang daripada 38 pemain yang dipanggil oleh Ketua Jurulatih kebangsaan, Peter Cklamovski, untuk menyertai kem latihan berpusat menjelang aksi penting pusingan ketiga Kelayakan Piala Asia 2027 menentang Vietnam, yang bakal berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur pada 10 Jun.
Sebelum perlawanan berprofil tinggi menentang skuad Golden Dragons itu, Cklamovski akan menguji pemainnya dalam dua aksi persahabatan dengan menentang pasukan ranking ke-72 dunia, Cape Verde pada 29 Mei di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras dan satu lagi perlawanan tertutup pada 3 Jun di gelanggang keramat Harimau Malaya.
BACA LAGI: Kualiti pemain warisan belum terbukti, bintang lokal terhad jika kelab tarik diri — Reduan Abdullah
BACA LAGI: Senarai belum muktamad, 3 bintang JDT termasuk Hong Wan mungkin antara digugurkan Cklamovski
Dari kiri: Stuart Wilkin, Nooa Laine dan Afiq Fazail antara pencabar Syamer Kutty di posisi tengah. — Facebook
Senarai akhir 23 pemain akan diumumkan selepas kedua-dua perlawanan pemanas badan itu dan Syamer bertekad untuk menempatkan dirinya dalam skuad utama.
“Saya sangat teruja dapat kembali menyertai skuad kebangsaan, lebih-lebih lagi di bawah kendalian jurulatih Cklamovski dan pasukannya.
“Setiap panggilan ke pasukan kebangsaan adalah peluang untuk terus berkembang. Saya ingin memahami dengan lebih mendalam falsafah taktikal dan teknikal jurulatih dan semoga saya dapat membantu pasukan mencatat kemenangan ke atas Vietnam.
“Persaingan sihat dalam pasukan akan menyerlahkan prestasi terbaik setiap pemain. Ia turut meningkatkan kualiti latihan dan memberi lebih banyak pilihan kepada jurulatih.
"Bagi saya, ini adalah peluang emas untuk menguji kemampuan diri dan terus memperbaiki permainan,” kata Syamer, yang beraksi bersama Penang FC secara pinjaman daripada Johor Darul Ta’zim musim lalu.
Namun, Syamer perlu benar-benar menonjol kerana posisi tengah kali ini dibarisi ramai pemain berkualiti.
Antara pemain tengah yang turut bersaing di posisi sama ialah Afiq Fazail, Nazmi Faiz Mansor, Hong Wan, Nooa Laine, Haykal Danish, Mohamad Abu Khalil, Stuart Wilkin, Endrick Dos Santos dan Hector Hevel.
Walaupun Penang menamatkan musim Liga Super 2024 di tangga ke-10 dan bergelut dengan prestasi tidak konsisten, Syamer kekal menjadi tonggak utama yang menyerlah di bahagian tengah padang.
Di bawah kendalian jurulatih Wan Rohaimi Wan Ismail yang menekankan corak permainan berasaskan penguasaan bola, Syamer dikenali dengan terjahan agresif, pintasan bijak, hantaran tepat serta keupayaannya mengawal tempo permainan. — The Star/T.AVINESHWARAN
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram