Van Dijk bengang, anggap 'wonderkid' Spurs patut dibuang padang sebelum jaringkan gol kemenangan Tottenham


  • Podium
  • Khamis, 09 Jan 2025

Van Dijk (kanan) bertemu pengadil dan pegawai perlawanan selepas wisel penamat ditiupkan di tempat lawan. — Agensi

LIVERPOOL mengalami kekalahan mengejut 0-1 dalam separuh akhir pertama Piala Liga kepada Tottenham Hotspur di tempat lawan pada Khamis yang meranapkan impian penyokong untuk menjulang kesemua trofi musim ini.

Meskipun masih memiliki aksi timbal balik di laman sendiri, keputusan tidak memihak kepada skuad The Reds itu sukar diterima disebabkan terdapat keputusan yang terpalit dengan kontroversi.

Perkara itu disuarakan kapten pasukan pelawat, Virgil van Dijk yang beranggapan pengadil, Stuart Atwell sepatutnya melayangkan kad merah kepada 'ubi muda' Tottenham, Lucas Bergvall sebelum dia menjaringkan gol tunggal perlawanan.

BACA LAGI: Sama macam trio JDT, Van Dijk juga pulang awal lepas dipanggil Liverpool

BACA LAGI: Kane tak sabar bertarung sekali lagi dengan Van Dijk

kostas-tsimikas_169

Bergvall (bawah) melakukan terjahan keras terhadap Tsimikas. — Agensi

Menurutnya, pemain antarabangsa Sweden itu perlu diberikan kad kuning kedua selepas dua kesalahan dilakukan, termasuk terjahan keras terhadap pertahanan kiri Liverpool, Kostas Tsimikas.

"Saya berasakan ia adalah jelas bahawa dia perlu dibuang padang. Ini kerana tidak lama selepas dia membuat kesalahan itu, dia menjaringkan gol. Pada saya, pengadil melakukan kesilapan dan saya mengatakan itu kepadanya.

"Semua orang di tepi padang tahu ia adalah kad kuning kedua kepada Bergvall. Ada penjaga garisan, ada pegawai keempat dan ada juga pegawai dalam bilik video bantuan pengadil (VAR)," katanya.

Selepas wisel penamat ditiupkan, van Dijk kelihatan bertemu pemain Tottenham Hotspur itu sambil menyuarakan rasa kurang senang terhadap mutu pengadilan yang dianggap punca kekalahan kedua pasukan musim ini.

WhatsApp Image 2025-01-09 at 8.59.05 AM

Arne Slot (tengah) melakukan bantahan terhadap Atwell selepas perlawanan. — Agensi

Pandangan disuarakan tonggak skuad antarabangsa Belanda itu turut diakui pengendali The Reds, Arne Slot yang berasakan Bergvall perlu dibuang padang kerana impaknya dalam perlawanan amat ketara.

"Keputusan dibuat pengadil memberi kesan terhadap keputusan perlawanan, tetapi tiada banyak perkara boleh saya katakan. Pegawai keempat juga berasakan kad kuning tidak perlu diberikan, namun saya beranggapan pendirian itu dibuat kerana mendengar keputusan pengadil perlawanan," katanya.

Meskipun rekod di bawah kendalian Arne Slot masih membanggakan, kekalahan terbabit akan memberi impak terhadap prestasi Liverpool memasuki separuh kedua kempen 2024/25.

Skuad The Reds dan Tottenham Hotspur akan bertemu sekali lagi bagi aksi timbal balik separuh akhir Piala Liga pada 7 Februari depan di Stadium Anfield. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram