TOTTENHAM Hotspur mempunyai kelebihan kecil ke atas Liverpool selepas mereka berjaya menang 1-0 dalam separuh akhir pertama Piala Carabao pada Rabu.
Gol oleh Lucas Bergvall memisahkan kedua-dua pasukan menjelang aksi separuh akhir kedua di Anfield pada Februari kelak.
Namun begitu, walaupun Tottenham berjaya meraih kemenangan, mereka berdepan kesukaran apabila kehilangan pertahanan utama iaitu Rodrigo Bentancur yang tiba-tiba rebah semasa beraksi.
BACA LAGI: Fokus Alexander-Arnold masih bersama Liverpool walaupun Real Madrid sibuk ‘melamar'
BACA LAGI: Legenda Man United tolak Liverpool juara EPL, sokong Arsenal rangkul trofi
Semasa Tottenham memperoleh sepakan penjuru, Bentancur naik ke kotak penalti Liverpool untuk cuba mendapatkan jaringan. Namun begitu, dia tiba-tiba saja rebah semasa cuba menanduk bola ke arah gawang The Reds.
Ketika itu, Bentancur tidak dikawal rapi oleh mana-mana pemain Liverpool. Selepas rebah, pemain itu kelihatan terus terbaring dan tidak bangun semula untuk meneruskan permainan.
Didapati Bentancur mengalami kecederaan di kepala semasa hendak menanduk bola dan dia terpaksa diusung keluar oleh pasukan perubatan selepas hanya beraksi selama enam minit.
Mujur buat Bentancur apabila dia didapati tidak mengalami kecederaan serius dan sedar ketika kejadian itu terjadi. Pemain antarabangsa Uruguay itu kemudiannya dibawa ke hospital untuk pemeriksaan lanjut.
"Saya tiada maklumat penuh mengenai kejadian itu. Dari pemahaman saya, dia masih sedar dan memang sedar sewaktu dibawa ke bilik persalinan. Kami bawanya ke hospital untuk melihat keadaannya.
"Ia sangat merisaukan tapi daripada apa yang saya tahu, saya harap dia akan dalam keadaan baik," ujar pengendali Tottenham, Ange Postecoglou selepas perlawanan. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram