
SEJAK akhir-akhir ini, Selangor FC dikaitkan dengan perpindahan pemain kelahiran Venezuela iaitu Juan Pablo Anor atau lebih dikenali sebagai Juanpi bagi memperkuatkan bahagian tengah pasukan Lembah Klang berkenaan.
Kehadiran pemain berusia 31 tahun berkenaan dianggap sebagai langkah menggantikan Yohandry Orozco yang dikhabarkan akan mengucapkan selamat tinggal kepada tonggak tengah itu selepas dua musim bersama.
Juanpi memiliki pengalaman luas di pentas antarabangsa, termasuk beraksi di La Liga bersama Malaga dari 2014 hingga 2018 dengan dia berpeluang bertemu dengan dua legenda besar, Cristiano Ronaldo dan Lionel Messi.
BACA LAGI: Dari Malaga ke Selangor, kenali siapakah Juanpi bakal pengganti Yohandry Orozco
BACA LAGI: 'Aedy Ashraf' Sang Kenari bangga sarung jersi kebangsaan, hargai kepercayaan Juan Torres
Kenangan paling manis ketika di La Liga bersama Malaga, Juanpi pernah mencetak gol menentang Barcelona ketika kekalahan pasukannya 1-2 kepada kuasa besar bola sepak Sepanyol tersebut.
Sepanjang bersama kelab Sepanyol berkenaan, Juanpi beruntung apabila beraksi dalam skuad yang dibarisi pemain-pemain berkualiti Guillermo Ochoa, Ignacio Camacho dan tonggak Johor Darul Ta’zim (JDT) iaitu Samu Castellejo.
Dengan Castellejo yang mempunyai info mengenai Liga Malaysia (Liga M) pasti tidak mengejutkan jika penyerang sayap berkenaan boleh menjadi watak mempengaruhi Juanpi untuk menyertai Gergasi Merah pada saingan musim baharu nanti.
Untuk rekod, Juanpi dan Castellejo sah menjadi kawan rapat sejak 2009 apabila mereka bersama-sama beraksi di Malaga B dan skuad utama pasukan itu dalam saingan La Liga pada musim 2014-2015.
Dengan Orozco yang merupakan rakan senegara Juanpi dan ditambah pula pengalaman sahabatnya, Castellejo beraksi dalam saingan Liga Malaysia, tidak terkejut jika pemain itu mudah membuat keputusan untuk berhijrah ke tanah air.
Untuk info, Juanpi mempunyai pengalaman beraksi di Asia dalam kariernya sebelum ini bersama-sama Al-Ain di Arab Saudi sebaik saja kontraknya dengan Malaga tamat pada 2020.
Dengan pengalaman itu, Juanpi sekurang-kurangnya mempunyai gambaran bagaimana bola sepak di Asia. Oleh itu, ia mengurangkan kejutan budaya bakal dihadapinya apabila bersama Selangor.
Selain Malaga dan Al-Ain, pemain yang selesa dengan kaki kirinya itu juga pernah bermain untuk kelab-kelab seperti SD Huesca (Sepanyol), Caracas FC (Venezuela), Panetolikos (Greece), dan kini menyarung Volos NPS di Greece.— Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram