Berjaya selamatkan Persis Solo, Kim Swee pasang impian kekal di Indonesia semusim lagi


  • Podium
  • Selasa, 20 Mei 2025

Kim Swee berjaya memastikan Persis Solo kekal dalam divisyen teratas bola sepak Indonesia selepas mereka bergelut sebelum kehadirannya. — Facebook/Persis Solo

KEPUTUSAN mengejut diambil Datuk Ong Kim Swee untuk meninggalkan Sabah FC pada November tahun lalu menimbulkan persoalan kerana dia ketika itu sedang menikmati momen indah di Borneo tanah air.

Meskipun tidak pernah mengecapi sebarang gelaran bersama skuad Sang Badak, jurulatih kelahiran Melaka itu membawa perbezaan ketara buat pasukan tersebut dengan meletakkan mereka di prestasi konsisten sepanjang tiga musim pengendaliannya.

Bagaimanapun, keputusan itu diambil adalah sebenarnya untuk membolehkannya berkelana ke Indonesia dan mencuba perkara baharu selepas bertahun-tahun menimba pengalaman di tanah air.

BACA LAGI: Mungkin ke Persis Solo, Ong Kim Swee kongsi ada hubungi Saddil Ramdani

BACA LAGI: Fokus selamatkan Persis Solo, OKS tak mahu fikir kontrak 'di hujung tanduk'

Kim Swee mencipta kejutan dengan meninggalkan skuad Sang Badak pada November tahun lalu.

Ini kerana tidak lama selepas meninggalkan Sabah FC, Kim Swee diumumkan sebagai pengendali baharu Persis Solo yang ketika itu berada dalam zon penyingkiran dengan kehadirannya diharapkan mampu membawa perubahan.

Namun, tempohnya bersama pasukan berkenaan tidak bermula dengan baik kerana dalam tujuh perlawanan pertama, kelab itu gagal meraih sebarang kemenangan dengan ia meletakkan mereka terus berada dalam zon bahaya.

Tetapi, kesungguhan dan keazaman dicurahkan sepanjang tujuh bulan di Indonesia mula membuahkan hasil buat Kim Swee dan Persis Solo selepas mereka kini selesa di tangga ke-13 liga, sekali gus menyelamatkan pasukan itu daripada risiko tersingkir ke divisyen kedua.

Pencapaian tersebut menjadikan pengendali berusia 54 tahun berkenaan untuk terus kekal mengendalikan kelab tersebut musim depan, namun mereka perlu berbincang mengenai proses lanjutan kontrak.

"Semasa saya dilantik, objektif utama kita adalah cukup jelas, iaitu untuk mengelak daripada tersingkir. Saya berbangga kita dapat mencapai perkara itu. Ada yang berasakan itu tugas mudah.

Persis Solo terselamat daripada risiko penyingkiran dengan mereka kini berada di tangga ke-13 liga.  — Facebook/Liga 1 Indonesia

"Tetapi, untuk terselamat daripada penyingkiran selepas hanya enam bulan membuktikan betapa kompetitif liga ini. Kita membawa masuk empat pemain baharu pada jendela perpindahan kedua dan ia membawa perbezaan hebat," katanya.

Persis Solo menandatangani Lautaro Belleggia, Cleyltan Santos, Jhon Cley dan Jordy Tutuarima yang masing-masing menjadi watak penting dalam membantu Kim Swee kekal dalam divisyen teratas.

Kedudukan semasa mereka kali ini menyaksikan pasukan tersebut akan terus bersaing dalam Liga 1 Indonesia musim depan dengan ia menjadikan jurulatih itu lebih tertarik untuk kekal.

"Saya belum menandatangani sebarang kontrak, tetapi perbincangan sudah tentu akan bermula tidak lama lagi. Secara peribadi, saya berminat untuk kekal bagi sekurang-kurangnya semusim lagi di sini.

"Sekiranya semua perkara berjalan lancar, saya akan membawa masuk pemain yang sudah berada dalam senarai dengan sebahagiannya adalah daripada Malaysia. Cuma ia hanya perlu bergantung kepada bajet pasukan," katanya.

Persis Solo akan menamatkan kempen kali ini dengan aksi menentang juara liga, Persib Bandung yang dikendalikan Bojan Hodak dalam pertembungan yang berlangsung di Stadium Gelora Lautan Api pada Sabtu ini. — The Star

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram