Ada pengalaman bersama HM serta berdarah lokal, legenda Terengganu-pembantu KPG mungkin kemudi KDN


  • Podium
  • Selasa, 20 Mei 2025

Kelantan Darul Naim FC dijangka tampil dengan wajah baharu musim depan susulan kehadiran pengendali baharu yang bakal mengambil alih pasukan. — Facebook/KDNFC

KELANTAN Darul Naim FC (KDN FC) yang kini sedang merangka kebangkitan untuk musim akan datang dikhabarkan sedang mempertimbangkan dua nama besar dalam kalangan jurulatih tempatan sebagai pengendali baharu pasukan.

Difahamkan, figura yang kini disebut-sebut bukan asing dalam kancah bola sepak Malaysia.

Hal ini kerana, mereka bukan sahaja berpengalaman luas di peringkat domestik, tetapi juga pernah menabur bakti bersama skuad Harimau Malaya.

BACA LAGI: Senarai belum muktamad, 3 bintang JDT termasuk Hong Wan mungkin antara digugurkan Cklamovski

BACA LAGI: Siapa jeneral terbaik Harimau Malaya? Syamer Kutty sedia cabar 9 'call up' termasuk bintang Sabah-Selangor

Kelantan Darul Naim dikhabarkan akan berwajah baharu musim depan. — Facebook/KDNFC

Pemilihan jurulatih untuk KDN FC bukan sahaja penting dari sudut prestasi di atas padang, malah turut memberi kesan kepada keyakinan penyokong dan hala tuju jangka panjang kelab.

Dengan tekanan untuk bangkit selepas musim yang mencabar, memilih jurulatih yang tepat dan berpengalaman luas bakal menentukan arah baharu pasukan.

Oleh itu, Majoriti menyenaraikan dua nama yang tidak asing dalam kancah bola sepak tanah air, yang dijangka mampu mengemudi semula pasukan Pantai Timur itu daripada terus tenggelam.

1. Hairuddin Omar

Legenda Terengganu dan bekas penyerang kebangsaan, Hairuddin Omar memiliki profil yang seimbang sebagai bekas pemain berwibawa dan jurulatih yang memahami dinamik pemain tempatan.

Sebagai individu berdarah lokal, Hairuddin atau turut dikenali dengan julukan Hai-O itu dilihat sebagai calon yang mampu mengangkat semula semangat penyokong akar umbi Kelantan yang mendambakan identiti tempatan dalam pasukan.

Dengan pengalaman luas sebagai pemain dan jurulatih, serta pemahaman mendalam tentang bola sepak tempatan, dia mampu mengurus pasukan dengan baik.

Hairuddin Omar antara disebut-sebut pengendali baharu KDN FC musim depan. — Facebook/TFC

Hairuddin juga dikenali dengan disiplin, kepimpinan yang kukuh dan kemahiran dalam membangunkan pemain muda, sesuai dengan keperluan KDN yang kini fokus kepada pembangunan bakat tempatan.

Selain itu, pengalamannya menghadapi cabaran Liga Malaysia memberikan kelebihan kepadanya untuk membantu skuad Kijang Emas bersaing dengan lebih baik.

2. E. Elavarasan

Bekas pembantu jurulatih Harimau Malaya, E. Elavarasan dilihat sebagai calon ideal untuk mengemudi Kelantan musim depan.

Pengalamannya bersama Kim Pan-gon dalam skuad kebangsaan memberinya pemahaman taktikal dan pengurusan pasukan yang mendalam.

Selain itu, kepakaran Elavarasan dalam melatih pemain muda dan membina keserasian pasukan menjadikannya calon yang tepat untuk membimbing KDN, terutamanya dalam fasa pembinaan semula pasukan.

E.Elavarasan calon ideal sebagai pengendali KDN FC musim depan. — Facebook/FAM

Sokongan moral daripada komuniti bola sepak tempatan juga menjadi nilai tambah dalam mengangkat imej pasukan.

Dengan pengalaman dan kemahiran yang dimilikinya, Elavarasan berpotensi besar membawa KDN ke tahap yang lebih tinggi.

Jika dipilih, Elavarasan boleh menjadi aset besar dalam membina semula struktur bola sepak yang lebih mapan di Kelantan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram