Era baharu saji pengalaman peruncitan lebih dinamik di KLIA


  • Bisnes
  • Jumaat, 30 Mei 2025

Kedai Sense of Malaysia meraikan jenama artisanal tempatan selain menawarkan perkhidmatan poskad unik kepada pelancong, membolehkan mereka menghantar foto kenangan peribadi kepada insan tersayang di seluruh dunia.

SEBAGAI laluan pintu masuk antarabangsa di Malaysia, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) memainkan peranan penting dalam mengalu-alukan ketibaan pelancong antarabangsa.

Pada tahun lalu, KLIA mencatatkan 93.8 juta pergerakan penumpang, dengan China, India dan Indonesia mendahului senarai pengunjung terbanyak.

Pemulihan yang mencapai 90 peratus daripada jumlah penumpang pada 2019 dikukuhkan oleh inisiatif seperti polisi bebas visa yang dicapai atas persetujuan bersama antara Malaysia dan China.

Seiring dengan perkembangan ini, KLIA menjalani transformasi yang rancak dalam penawaran peruncitan dan restorannya, sekali gus menetapkan standard baharu dalam pengalaman lapangan terbang moden.

BACA LAGI: [VIDEO] Dua projek utama naik taraf KLIA siap pada 2025

BACA LAGI: Pengembara warga Malaysia perlu muat turun aplikasi MyBorderPass sebelum guna QR KLIA

Kedai Sense of Malaysia mempamerkan kraf artisanal, makanan tradisional dan barangan fesyen daripada lebih 30 jenama tempatan.

Transformasi dinamik

Di tengah-tengah transformasi KLIA adalah inisiatif penetapan semula komersial, usaha strategik untuk meningkatkan pengalaman peruncitan dan beli-belah di lapangan terbang. Inisiatif tersebut sudah mendorong kepada pembukaan 791 kedai di kedua-dua terminal, dan ia dijangka siap sepenuhnya pada pertengahan 2025.

Fokus utama kepada transformasi ini adalah dengan menawarkan pelbagai barangan bebas cukai termasuk pilihan jenama premium dan produk eksklusif untuk memberikan pengalaman peruncitan yang lebih memuaskan kepada para pelancong.

Selain barangan bebas cukai, KLIA turut memperkenal konsep beli-belah secara inovatif, termasuk papan tanda digital interaktif, pameran jenama yang imersif, dan perkhidmatan peruncitan yang dikhususkan mengikut selera penumpang yang sentiasa berubah.

Dengan pelaburan berterusan, kerjasama strategik dan ketangkasan dalam merebut peluang baharu, Malaysia Airports kekal komited untuk mentakrif semula perjalanan penumpang - memastikan pengalaman membeli-belah yang lancar, menarik dan bertaraf dunia di KLIA.

KLIA mencatatkan 93.8 juta pergerakan penumpang, dengan China, India dan Indonesia mendahului senarai pengunjung terbanyak.

Ia dapat dilihat menerusi Kedai Bebas Cukai Eraman yang baru saja dinaik taraf di balai pelepasan antarabangsa di Bangunan Terminal Utama, KLIA Terminal 1.

Dikendalikan oleh Eraman Malaysia, kedai beli-belah itu menawarkan pelbagai pilihan coklat, minyak wangi dan kosmetik termasuk kaunter Charlotte Tilbury yang pertama di lapangan terbang Asia Tenggara, bersama-sama dengan naik taraf seperti kios daftar keluar sendiri (self-checkout) dan teknologi RFID.

Sementara itu, Emporium Bebas Cukai Eraman di Terminal 2 KLIA dijangka siap pada November, memacu inovasi dalam peruncitan pelancongan.

Peruncitan barangan kecantikan masih menjadi fokus utama, dengan Dimensi Eksklusif meluaskan kedai Dimensi Beauty di KLIA Terminal 1 di mana ia menawarkan jenama mewah seperti Helena Rubinstein, Maison Margiela dan Prada Beauty yang eksklusif.

Sajian Malaysia

Landskap gastronomi di KLIA yang terdiri daripada 40 peratus sajian tempatan dengan 60 peratus sajian makanan antarabangsa, menyaksikan peningkatan jualan makanan dan minuman sebanyak 40 peratus berbanding 2019.

Kedai makan seperti Petit Cafe Chef Wan, Jibby Chow dan Serai menyajikan hidangan Malaysia yang memberikan pengalaman kulinari yang tidak dapat dilupakan.

Restoran seperti Petit Cafe Chef Wan menyajikan hidangan Malaysia yang memberikan pengalaman kulinari tidak dapat dilupakan. — Focus Malaysia

Menurut Pengurus Besar Kanan Perkhidmatan Komersial Malaysia Airports Holdings Bhd, Hani Ezra Hussin, pengalaman menikmati kulinari Malaysia memberikan pelancong memori yang dapat diraikan dan dikongsi.

“Keseimbangan antara keaslian makanan tempatan dengan selera antarabangsa menjadikan pengalaman menikmati makanan di lapangan terbang sebahagian momen yang tidak dapat dilupakan dalam perjalanan ke destinasi yang dituju,” katanya.

Meraikan Ketukangan Malaysia

Kedai Sense of Malaysia mempamerkan warisan kebudayaan negara yang kaya. Kedai-kedai ini mempamerkan kraf artisanal, makanan tradisional dan barangan fesyen daripada lebih 30 jenama tempatan, termasuk Borneo Pearls, Kapten Batik dan Royal Selangor.

Dengan fokus kepada penceritaan menerusi seni dan kraf tempatan yang menciptakan hubungan bermakna antara pelancong dengan warisan Malaysia, ia telah meningkatkan penjualan barangan cenderahati sebanyak 40 peratus.

 

“Kisah budaya di sebalik produk-produk ini menghasilkan jalinan dengan pengguna, membuktikan betapa hebatnya penceritaan dalam membentuk pilihan mereka,” kata Hani.

KLIA menawarkan pelbagai barangan cenderahati untuk dibeli pelancong domestik dan luar negara sebagai tanda kenang-kenangan.

Ruang istirahat lapangan terbang juga sudah menjadi syurga yang menjanjikan keselesaan, sekali gus meningkatkan tahap kepuasan penumpang secara signifikan. 

Memastikan pelancong mendapatkan rehat secukupnya dan kembali segar dengan menawarkan kemudahan seperti permainan realiti maya, spa dan hotel transit, ruang istirahat menyumbang 61 peratus kepada pendapatan segmen perkhidmatan di KLIA.

Memberi definisi semula kecemerlangan runcit di lapangan terbang

Tatkala KLIA kini bersiap sedia untuk menyambut kehadiran dunia sempena Tahun Melawat Malaysia 2026, ia terus menaikkan standard bagi pengalaman penumpang, inovasi peruncitan dan penceritaan budaya. 

Menerusi fasiliti yang ditambah baik, pengalaman membeli-belah yang imersif, dan intipati yang kuat dalam mempamerkan kebudayaan Malaysia, KLIA meletakkan dirinya sebagai bukan sahaja lapangan terbang - tetapi sebagai gerbang dinamik yang mencerminkan kerancakan budaya negara, kepelbagaian dan hospitaliti. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram