
WAKIL tunggal Asia Tenggara, Buriram United terpaksa menelan pahit apabila bakal menghadapi ujian getir suku akhir Liga Juara-Juara AFC Elit (ACLE) tanpa dua tonggak utama mereka.
Menurut laporan pemerhati sukan Thailand, Ta Lao di laman X, skuad Thunder Castle yang telah berlepas ke Arab Saudi terpaksa menerima hakikat beraksi tanpa kelibat Theerathon Bunmathan dan Suphanat Mueanta.
"Tiada kelibat Suphanat Mueanta dan Theerathon Bunmathan dalam skuad Buriram yang bertolak ke Arab Saudi," katanya.
BACA LAGI: 'End of an era', Perak FC hampir 100 peratus tidak beraksi musim depan
BACA LAGI: Sebelum tercalon di Kedah tapi tiada rezeki, kali ini milik saya — Aidil Sharin
Ketiadaan Suphanat dianggap satu tamparan hebat buat Ketua Jurulatih Buriram, Osmar Loss Vieira kerana kehilangan itu pastinya merencatkan perancangan pasukan dalam menghadapi perlawanan penting di peringkat Asia.
Sejak kembali menyertai Thunder Castle dari OH Leuven, Suphanat sering menjaringkan gol penting untuk Buriram dan menjadi antara pemain yang paling konsisten dalam jentera serangan pasukan.
Untuk rekod, sepanjang bersama Buriram, penyerang berketinggian 1.73 meter itu telah mencatatkan 23 penampilan, 11 jaringan dan tujuh bantuan gol, termasuk gol kemenangan dalam aksi kedua pusingan 16 ACLE menentang Johor Darul Ta’zim (JDT) di Stadium Sultan Ibrahim (SSI), Johor pada 11 Mac lalu.
Selain itu, pertahanan kental Buriram, Theerathon juga terpaksa melupakan aksi suku akhir ACLE kerana disahkan perlu berehat panjang akibat kecederaan serius pada ligamen lutut.
Kecederaan tersebut dialami dalam aksi Piala Shopee menentang Kuala Lumpur City FC pada 6 Februari lalu, susulan pertembungan dengan Giancarlo Gallifuoco.
Buriram United dijadualkan menentang kelab Arab Saudi, Al-Ahli dalam perlawanan suku akhir pada 27 April nanti. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram