'Jangan bunuh semangat dia', Badrul Afzan minta penyokong TFC terus sokong Rahadiazli


  • Podium
  • Isnin, 20 Jan 2025

Badrul mahu penyokong Terengganu terus memberikan sokongan terhadap Rahadi (jersi kuning). — Facebook/Terengganu FC

PENGENDALI Terengganu FC, Badrul Afzan berharap para penyokong kelab itu untuk terus memberikan sokongan kepada para pemainnya terutamanya salah seorang daripada penjaga gol skuad Penyu.

Pemain yang dimaksudkan adalah Rahadiazli Rahalim, yang sering menjadi sasaran kritikan oleh penyokongnya sendiri selepas melakukan beberapa kesilapan besar semasa beraksi.

Kesilapan ketara yang dilakukan adalah ketika suku akhir Piala Malaysia di mana Terengganu berjaya mengalahkan Negeri Sembilan FC. Walaupun menang, tetapi Rahadi masih dikritik hebat akibat kesilapannya.

BACA LAGI: Sebelum Akhyar, ada 3 pemain sarung jersi Terengganu lepas tinggalkan JDT

BACA LAGI: Romel, Arif Aiman buat bek Terengganu pening kepala, fans geram taktikal 'backpass' Sang Penyu

Namun begitu, Badrul tidak mahu penyokong Terengganu terlalu fokuskan kepada kesilapan Rahadi. Sebaliknya, terus memberikan kata-kata semangat kepada pemain tersebut kerana dia masih beraksi dengan baik.

Bagi Badrul, Rahadi menunjukkan semangat untuk bangkit yang tinggi dan ketika Terengganu kalah 0-4 kepada Johor Darul Ta'zim (JDT) dalam separuh akhir 1 Piala Malaysia, dia masih beraksi dengan baik.

471204431_582071264534312_1849560636424876054_n

Rahadi (kiri) melakukan kesilapan ketika menentang Negeri Sembilan. — Facebook/Terengganu FC

"Saya tahu masih ada penyokong yang tidak percayakan dia selepas suku akhir Piala Malaysia. Benar, dia lakukan kesilapan ketika bertemu Negeri Sembilan, tapi apa yang orang tak nampak adalah usaha dia untuk bangkit semula.

"Dia memang hebat dalam perlawanan itu kecuali dengan satu kesilapan dilakukannya. Daripada fokus kepada kesilapannya, lebih baik kita sokong dia dan tidak bunuh semangatnya.

"Setakat ini, apabila dia diturunkan, dia sudah menyelamatkan kami beberapa kali. Benar, dalam kekalahan 0-4 (kepada JDT), dia masih bermain baik jika anda tanya saya," jelas Badrul.

Permulaan musim buat Rahadi agak sukar kerana dia diberitahu oleh bekas jurulatih, Tomislav Steinbruckner yang masa depannya di Terengganu sudah tamat dan perlu mencari kelab baharu.

Tetapi, Rahadi tetap berjuang untuk meraih tempatnya dan sejak Badrul mengambil alih, namanya sering diarahkan untuk menjaga pintu gol Terengganu.

Setakat ini, Rahadi sudah mencatatkan empat nirbolos (clean sheet) dalam tujuh penampilannya bersama Terengganu di bawah kendalian Badrul.

"Saya katakan kepadanya untuk teruskan momentum jika dia mahu terus kekal dalam kesebelasan utama. Saya cuma mahu dia berada di tahap permainan terbaik pada setiap perlawanan dan saya akan sentiasa menyokongnya," jelas Badrul. — The Star

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram