Bintang golf beri bayangan Jordi Amat tinggalkan JDT, pilih Sepanyol sebagai destinasi baharu


  • Podium
  • Selasa, 20 Mei 2025

Jordi Amat merupakan antara bek tengah import terbaik pernah mewakili skuad Harimau Selatan beberapa musim kebelakangan ini. — Facebook/JOHOR Southern Tigers

BEBERAPA minggu lalu, heboh kedengaran kononnya bek tengah Harimau Selatan, Jordi Amat akan meninggalkan kelab tersebut selepas hampir tiga tahun beraksi buat pasukan terbabit.

Dia yang pernah beraksi di Liga Perdana Inggeris (EPL) dan LaLiga merupakan antara pembelian terbesar pernah dilakukan Johor Darul Ta'zim (JDT) dengan dia kemudiannya menjadi antara watak penting bagi mereka.

Sumbangannya menyaksikan gergasi bola sepak tempatan itu berjaya merangkul tujuh kejuaraan sepanjang keberadaannya dalam pasukan dengan ia menjadi antara import terbaik mereka.

BACA LAGI: Status bersama JDT masih samar, yang pasti Jordi Amat nafi khabar angin ke Indonesia

BACA LAGI: Mungkin tinggalkan JDT usai kontrak tamat, ada 3 kelab Indonesia patut sambar Jordi Amat

Jordi Amat menikmati pelbagai momen indah sepanjang tiga tahun bersama skuad Harimau Selatan. Instagram/Jordi Amat

Bagaimanapun, dengan usianya kini sudah mencecah 33 tahun, tidak mustahil sekiranya pihak pengurusan JDT akan menunjukkan jalan keluar kepada pemain kebangsaan Indonesia itu pada jendela perpindahan kali ini.

Khabar angin tersebut dikuatkan selepas baru-baru ini, seorang kenalan kepada Jordi Amat seakan-akan mengesahkan bahawa bek tengah tersebut akan meninggalkan skuad Harimau Selatan.

Hal itu dikongsikan pemain golf profesional, Muhammad Zafran Abdullah menerusi hantaran di Instagram peribadinya dengan mengucapkan selamat maju jaya kepada pertahanan kental berkenaan.

"Selamat tinggal kepada Jordi Amat, ia merupakan masa yang indah sepanjang mengenali anda sebagai sahabat dan anak murid. Saya mengharapkan yang terbaik untuk anda yang akan kembali ke Sepanyol untuk lembaran baharu dalam karier anda," tulisnya.

Sebelum ini, ura-ura kuat mengatakan pemain tersebut akan menyertai mana-mana kelab di Indonesia dengan juara liga mereka, Persib Bandung dikatakan sebagai antara yang berminat.

Namun, melihat kepada hantaran Zafran itu, tidak mustahil bagi Jordi Amat pulang ke Eropah dengan mana-mana kelab yang beraksi di liga bawahan boleh menjadi destinasi baharunya.

Untuk rekod, bek tengah itu pernah menyarung jersi Swansea City FC yang beraksi di EPL selama empat musim bermula 2013/14 dengan pengalaman tersebut menaikkan reputasi dan nilai pasarannya.

Tetapi, Jordi Amat seperti lebih selesa beraksi di Sepanyol kerana majoriti daripada kariernya dihabiskan di negara tersebut yang menyaksikannya mewakili beberapa kelab seperti Espanyol dan Rayo Vallecano.

Di peringkat antarabangsa pula, pemain terbabit sudah mewakili Indonesia sebanyak 18 kali selain pernah juga beraksi buat skuad muda Sepanyol dari peringkat belia sehingga ke tahap Bawah 21 Tahun (B-21). — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram