
BARU-BARU ini, pemilik kelab Carabat FC, Sharnaaz Ahmad mengesahkan pasukannya bakal bersaing dalam saingan Liga Komuniti A3 Malaysia musim 2025.
Ini selepas dia ditanya tentang penyertaan pasukan itu dalam saingan liga tersebut baru-baru ini, yang mana pelakon Blood Brothers: Bara Naga itu menyatakan keyakinannya bahawa pasukannya sudah bersedia untuk menyertai liga berkenaan.
Carabat memiliki beberapa pemain berpengalaman yang pernah mewarnai saingan Liga Malaysia (Liga M), antaranya bekas pemain Sri Pahang FC, Azidan Sarudin dan dua bekas pemain Kelantan FC, Qayyum Marjoni dan Irfan Haikal.
BACA LAGI: Senarai belum muktamad, 3 bintang JDT termasuk Hong Wan mungkin antara digugurkan Cklamovski
Pemilik kelab Carabat FC, Sharnaaz Ahmad. — Instagram/officialcarabatfc
Penyertaan pasukan yang berpangkalan di Lembah Klang itu dijangka mencuri tumpuan penyokong tempatan, memandangkan kehadiran pasukan baharu dalam kancah bola sepak negara diyakini mampu menyemarakkan lagi saingan liga.
Bagaimanapun, timbul persoalan apabila nama Carabat FC dikaitkan dengan sebuah jenama rokok elektronik, memandangkan penajaan daripada entiti seperti itu tidak dibenarkan dalam arena bola sepak tanah air.
Isu ini mengingatkan kepada insiden melibatkan BRM FC Kuala Kangsar, sebuah kelab amatur yang sebelum ini terpaksa menarik diri daripada saingan Liga M3 selepas menolak tajaan syarikat vape susulan tekanan daripada penyokong.
Perkara itu turut disokong oleh pemerhati sukan tanah air, Datuk Dr. Pekan Ramli, yang berpendapat bahawa penajaan daripada syarikat rokok elektronik adalah tidak dibenarkan dalam industri bola sepak tempatan.
"Tajaan syarikat rokok atau syarikat rokok elektronik memang tidak dibenarkan oleh kerajaan Malaysia sejak sekian lama.
"Kementerian Belia dan Sukan (KBS) yang telah memperkasakan Kod Sukan Selamat untuk mengelak sebarang tajaan aktiviti sukan melibatkan syarikat tembakau, rokok elektronik atau vape dan alkohol.
"Setahu saya larangan oleh kerajaan ini masih berkuatkuasa dan jika tidak sudah pasti banyak acara sukan kita sudah ditaja oleh syarikat-syarikat tersebut seperti sekitar tahun 90-an dulu.
"Jika benar Carabat FC ini menerima tajaan daripada syarikat rokok elektronik ini bertentangan dengan hasrat kerajaan untuk mempromosikan gaya hidup sihat terutama dalam aktiviti sukan," katanya kepada Majoriti.
Pemerhati sukan tanah air, Datuk Dr Pekan Ramli. — Agensi
Tambah beliau, pihak pengurusan Carabat FC perlu membuktikan bahawa pasukan mereka tidak terlibat dengan sebarang bentuk penajaan yang boleh menjejaskan reputasi bola sepak tanah air.
"Bagi saya kalau Carabat FC boleh membuktikan ia adalah sebuah kelab sukan dan tidak menerima sebarang penajaan walau satu sen pun daripada syarikat rokok elektronik dan nama itu jenama itu kebetulan serupa maka ia tidak melanggar kesalahan.
"Jadi ini boleh memadamkan isu kerana sebelum ini ada pasukan atau kelab bolasepak terpaksa menarik diri bersaing di liga M3 kerana terpaksa menolak tajaan syarikat rokok elektronik," jelasnya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram