
KEMPEN Liga Juara-Juara AFC (ACL) Two musim ini menyaksikan kelab Liga Perdana Singapura, Lion City Sailors melangkah ke perlawanan akhir sebelum dikecewakan wakil Emiriah Arab Bersatu (UAE), FC Sharjah.
Meskipun perjalanan berliku-liku itu hanya berakhir dengan kekecewaan, ia membuktikan bahawa pasukan dari Asia Tenggara juga boleh berbuat demikian meskipun perlu berdepan cabaran hebat dari kelab lebih berpengalaman.
Pencapaian sedemikian perlu dicontohi wakil Liga Super, Selangor FC bagi saingan akan datang kerana mereka tidak boleh lagi mensia-siakan kelebihan melayakkan diri ke pentas Asia.
BACA LAGI: Bekas bintang Spurs ranapkan impian kelab Singapura ulangi pencapaian JDT
BACA LAGI: Tiada darah Belanda, bintang Lion City Sailors terbuka sarung jersi Harimau Malaya
Lion City Sailors masih boleh berbangga dengan pencapaian di pentas Asia musim ini. — Facebook/Lion City Sailors
Ini kerana kejayaan dalam kejohanan itu akan menjanjikan wang ganjaran berbaloi selain dapat menjadi daya tarik terhadap mana-mana pemain luar untuk menyertai kelab tempatan bagi kempen akan datang.
Bagaimanapun, melihat kepada perjalanan skuad Gergasi Merah dalam ACL Two 2024/25, mereka gagal memanfaatkan kelebihan tersebut selepas hanya menamatkan saingan di peringkat kumpulan.
Jadi, selepas melayakkan diri untuk sekali lagi, kelab Lembah Klang itu perlu mencontohi langkah sudah diambil Lion City Sailors untuk menjadi antara pencabar utama dalam saingan berkenaan.
1. Ambil import berkualiti
Musim ini, Lion City Sailors memiliki skuad cukup berkualiti dengan gabungan pemain tempatan berpengalaman serta import yang berada dalam kelas tersendiri, seperti Maxime Lestienne, Lennart Thy dan Bart Ramselaar.
Walaupun Selangor FC turut dibarisi bintang luar negara yang juga berkualiti, mutu mereka masih jauh berbanding tonggak mewakili juara Liga Perdana Singapura itu, baik dari segi pengalaman mahupun kecergasan.
Sebagai contoh, Noor al-Rawabdeh dan Yohandry Orozco yang memiliki perjalanan karier cukup baik kurang memberi sumbangan akibat kecederaan yang menyaksikan posisi tengah skuad Gergasi Merah amat runcing.
Kemasukan Lestienne membuktikan Lion City Sailors menjaga kualiti import pasukan. — Facebook/Lion City Sailors
Di samping itu, Ali Olwan dan Ronnie Fernandez yang masing-masing pernah beraksi buat negara masing-masing juga gagal mencurahkan impak seperti mana diharapkan atas faktor peribadi.
Masalah sedemikian tidak boleh membelenggu Selangor FC sekiranya mereka mahu memberi saingan terbaik di pentas Asia dengan pelaburan lebih besar pada jendela kali ini adalah solusi terbaik wajar diambil.
Bagaimanapun, pihak pengurusan naib juara Liga Super itu seperti sudah sedar akan kesilapan tersebut apabila dilaporkan bersedia membawa masuk nama-nama baharu dengan pengalaman lebih berkualiti.
2. Jangan mudah cicir mata
Sekiranya dibandingkan kutipan mata Selangor FC dan Lion City Sailors di peringkat kumpulan, tiada perbezaan ketara disaksikan kerana kedua-duanya meraih 10 mata hasil tiga kemenangan dan satu keputusan seri.
Tetapi, skuad Gergasi Merah tidak berpeluang mara ke pusingan seterusnya selepas hanya berada di tangga ketiga sementara kedudukan dua teratas menjadi milik Jeonbuk Hyundai Motors dan Muangthong United.
Skuad Gergasi Merah mencicirkan tiga mata ketika menerima kunjungan Muangthong United. — Facebook/Selangor FC
Namun, situasi berbeza boleh disaksikan sekiranya Selangor FC tidak mensia-siakan sebarang mata seperti mana dilakukan semasa mereka mengalami kekalahan di laman sendiri kepada wakil Thailand tersebut.
Keputusan mengecewakan berkenaan sekali gus menghalang wakil Liga Super itu daripada melangkah ke pusingan kalah mati, lebih-lebih lagi selepas mereka kecundang di tangan Jeonbuk di Korea Selatan.
Sekiranya skuad Gergasi Merah tidak mahu mengalami hal sedemikian, mereka perlu cuba sedaya upaya untuk membawa pulang setiap mata meskipun berdepan pasukan lebih berkualiti dari rantau Asia Barat.
3. Ubah mentaliti
Seperti mana dinyatakan di atas, Selangor FC menikmati tiga kemenangan dalam peringkat kumpulan musim lalu dengan salah satunya dicatatkan ketika mereka menerima kunjungan Jeonbuk di laman sendiri.
Tiga mata diraih daripada perlawanan itu cukup diraikan pemain dan penyokong kerana ia adalah kali pertama mereka dapat menundukkan lawan dari Korea Selatan selepas bertahun-tahun tidak berentap di pentas Asia.
Skuad Gergasi Merah terlalu teruja meraikan kemenangan ke atas Jeonbuk. — AFC
Bagaimanapun, kegembiraan itu hanya sementara kerana dalam dua perlawanan selepas itu, skuad Gergasi Merah mengalami dua kekalahan berturut-turut yang kemudian menghalang mereka daripada melepasi peringkat kumpulan.
Mentaliti mudah bergembira sedemikian perlu dibendung kerana mereka tidak boleh berasa puas dengan kejayaan kecil sehingga meraikannya seperti satu pencapaian besar dan melupakan bahawa kemaraan belum berakhir.
Sekiranya pemikiran sedemikian boleh ditepis, tidak mustahil buat Selangor FC menikmati pencapaian lebih baik pada tahun-tahun akan datang dengan penyokong turut berharap hal demikian. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram