Pamer wajah gembira di Jordan, Mr Engineer Selangor kembali jalani latihan selepas lama tercedera


  • Podium
  • Isnin, 19 Mei 2025

Dengan khidmat Al-Rawabdeh masih digunakan skuad kebangsaan Jordan, ia akan membantu pemain itu mendapatkan prestasinya semula. — Facebook/JordanFA

BERITA gembira buat penyokong Selangor FC apabila pemain tengah mereka, Noor Al-Rawabdeh sepertinya sudah pulih daripada kecederaan anterior cruciate ligament (ACL) ketika berdepan PDRM FC pada Oktober 2024.

Perkembangan mengenai pemain dengan julukan 'The Engineer' itu dikongsikan oleh Persatuan Bola Sepak Jordan susulan Al-Rawabdeh mendapat panggilan mewakili negaranya untuk perlawanan pusingan ketiga Piala Dunia 2026 pada Jun depan.

Hantaran daripada Persatuan Bola Sepak Jordan itu bukan hanya disambut baik oleh penyokong skuad The Chivalrous Ones, malah pengikut Gergasi Merah juga turut tersenyum melihat Al-Rawabdeh kembali.

BACA LAGI: Noor kongsi proses penyembuhan ACL, akui sukar berjauhan dengan keluarga

BACA LAGI: [VIDEO] Pilihan bijak misi Asia, Alvin Fortes-Noor Al-Rawabdeh kekal tonggak import Gergasi Merah

Sebelum ini, pemain berusia 28 tahun itu difahamkan sudah menjalani rawatan pemulihan Anterior Cruciate Ligament (ACL) di kaki kirinya dengan penuh disiplin agar kembali ke padang mengikut masa yang ditetapkan.

Khidmat Al-Rawabdeh terpaksa dilupakan selepas mengalami kecederaan ACL pada perlawanan Liga Super 2024/25 menentang PDRM FC pada 19 Oktober 2024 di Stadium Majlis Perbandaran Selayang, Selayang, Selangor.

 

 

Berdasarkan makluman daripada doktor dan ahli fisioterapi pasukan, sesi pemulihan ACL mengambil masa enam ke 12 bulan, bergantung kepada individu. Kegigihannya untuk sembuh menyaksikan Al-Rawabdeh pula kembali ke padang latihan kira-kira selepas tujuh bulan.

Dengan khidmat Al-Rawabdeh masih digunakan skuad kebangsaan Jordan, ia akan membantu pemain itu mendapatkan prestasinya semula dan akan kembali berkualiti pada saingan Liga Malaysia (Liga M) nanti.

Berdasarkan laporan Majoriti sebelum ini, Al-Rawabdeh kekal menyarung jersi skuad Gergasi Merah bagi menghadapi saingan musim 2024/2025 bersama penyerang sayap dari Cape Varde iaitu Alvin Fortes.

Selangor berkongsi keadaan semasa Noor selepas menjalani pembedahan lutut pada 1 November lepas. — Facebook/Selangor FC

Pengerusi Jawatankuasa Teknikal Selangor FC, Datuk Sri Shahril Mokhtar, menyatakan bahawa kedua-dua pemain import tersebut akan terus dipertahankan bersama dengan pertahanan dari Jordan, Mohammad Abualnadi.

Sejak menyertai Selangor pada 2023, pemain berkenaan sekali lagi membuktikan kepentingannya buat pasukan apabila kerap membantu skuad Gergasi Merah dalam situasi serangan mahupun pertahanan.

Al-Rawabdeh diberi kepercayaan dalam 44 perlawanan dengan tonggak tengah itu sudah mencetak tujuh gol dan membuat lima bantuan jaringan untuk Selangor FC. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram