
JUARA 11 kali berturut-turut Liga Super, Johor Darul Ta’zim (JDT) nampaknya sudah memulakan langkah pertama mereka untuk mencari pemain baharu menjelang saingan 2024/2025 nanti.
Mencari pemain baharu diperlukan oleh skuad Harimau Selatan agar boleh membantu mereka memberi saingan lebih hebat dalam saingan Liga Juara-Juara Asia Elit (ACLE) pada musim depan.
Ciri-ciri mencari pemain yang berpengalaman seperti sudah dikenal pasti kerana baru-baru ini, skuad Harimau Selatan dilaporkan sudah menemui pemain tengah baharu dari kelab liga bawahan di Sepanyol.
BACA LAGI: [VIDEO] AFC denda JDT lebih RM100,000 angkara insiden baling botol di SSI
BACA LAGI: JDT hampiri rekrut pertama, 'midfield' kelab liga ke-2 Sepanyol jadi pilihan
Berdasarkan beberapa ciapan di laman X, ramai percaya JDT berjaya mendapatkan khidmat Fabio Gonzalez dari CD Tenerife dengan kehadirannya akan mencipta kelainan dalam pasukan musim depan.
"Fabio Gonzalez difahamkan sudah menandatangani kontrak bersama sebuah kelab dari Malaysia. Ia difahamkan menjadi punca di sebalik pemergiannya dari pasukan lebih awal sebelum berakhirnya kempen LaLiga2," tulis Manoj Daswani.
Sepanjang kariernya, pemain berusia 28 tahun itu hanya pernah menyarung jersi Tenerife dan Las Palmas dengan dia pernah mencatatkan sembilan penampilan dalam divisyen utama di Sepanyol.
Selain pengalamannya yang sangat diperlukan skuad JDT, terdapat tiga info menarik mengenai Gonzalez;
1) Isu kecederaan
Gonzalez yang memulakan karier bola sepaknya bersama Las Palmas itu mempunyai episod hitam bersama kelab berkenaan apabila ‘ghaib’ dalam kempen 2023/2024 dan 2024/2025 susulan isu kecederaan.
Selepas kira-kira sembilan bulan ditimpa masalah kecederaan, pemain kelahiran Gran Canaria, Sepanyol itu akhirnya membuat penampilan sulung musim 2023/2024 bersama UD Las Palmas pada 20 April 2024.
Kecederaan yang dimaksudkan berpunca daripada perlawanan persahabatan menentang Almería musim lalu, apabila Fabio mengalami kecederaan pada buku lali akibat insiden tidak disengajakan.
Keadaan berkenaan memerlukan pembedahan dan menyebabkan pendaftarannya bersama kelab ditangguhkan sehingga Januari 2024.
Sekembalinya ke padang, pemain tengah tersebut menunjukkan semangat dan kesediaan untuk kembali menyumbang namun Gonzalez masih bergelut untuk mendapatkan minit permainan.
2) Dilabel 'pengkhianat'
Keputusan Gonzalez untuk meninggalkan UD Las Palmas dan menyertai seteru utama mereka, CD Tenerife, dalam tempoh hanya satu jam selepas perpisahan rasmi dengan kelab asalnya telah mencetuskan kontroversi dan reaksi panas dalam kalangan penyokong.
Gonzalez dilabel sebagai ‘pengkhianat’ oleh sebahagian besar penyokong Las Palmas yang kecewa dengan perpindahan mengejut tersebut berikutan dia memilih untuk menandatangani kontrak enam bulan bersama Tenerife, dikenali sebagai musuh ketat dalam saingan derbi Kepulauan Canary.
CD Tenerife mengesahkan pelantikan rasmi Gonzalez sebagai pemain baharu mereka sehingga 30 Jun 2025 dengan mereka percaya kehadiranya bakal membawa pengalaman, kestabilan dan komitmen tinggi bagi memperkukuh bahagian tengah pasukan.
Dengan lebih 100 penampilan bersama Las Palmas dan pernah membantu kelab itu meraih promosi ke La Liga, perpindahan ini tidak hanya mengubah landskap persaingan di atas padang, tetapi juga mencalar hubungan emosi antara pemain dan penyokong lamanya.
3) Pernah rekod kemenangan ke atas Barcelona
Gonzalez pernah menimba pengalaman dalam LaLiga bersama Las Palmas. — Agensi
Meskipun karier Gonzalez lebih berkisar di divisyen kedua Sepanyol, dia juga pernah menimba pengalaman di La Liga semasa bersama Las Palmas selama dua musim bermula 2023/24.
Sepanjang tempoh tersebut, dia berpeluang berdepan beberapa kelab ternama yang sudah tentu menjadi nilai tambah di sebalik tempoh permainannya di benua tersebut.
Ini termasuk peluang berdepan kelab gergasi Sepanyol, FC Barcelona sebanyak tiga kali dengan salah satu daripadanya berakhir dengan kemenangan buat Gonzalez dan Las Palmas.
Kejayaan tersebut dilakar semasa pasukan diwakili rekrut baharu JDT itu bertandang ke gelanggang milik FC Barcelona pada 30 November tahun lalu yang berakhir dengan keputusan 2-1 berpihak kepada Las Palmas.
Dalam perlawanan itu, Gonzalez hanya beraksi sebagai pemain gantian untuk kira-kira tujuh minit, namun dia sempat bertarung dengan tonggak FC Barcelona di posisi tengah seperti Pedri dan Gavi. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram