Kualiti pemain warisan belum terbukti, bintang lokal terhad jika kelab tarik diri — Reduan Abdullah


  • Podium
  • Isnin, 19 Mei 2025

Reduan melahirkan rasa kecewa dan kebimbangan terhadap nasib pemain tempatan jika kelab utama menarik diri daripada Liga Malaysia. — Facebook/Perakfc

BEKAS pemain bola sepak kebangsaan, Reduan Abdullah menyuarakan pandangan peribadinya terhadap hala tuju bola sepak negara, khususnya berkaitan kebergantungan terhadap pemain warisan yang masih belum terbukti sepenuhnya keberkesanannya.

Beliau menekankan bahawa pembangunan pemain tempatan harus menjadi keutamaan dalam bola sepak Malaysia.

"Pendapat saya, keutamaan perlu diberikan kepada pemain tempatan terlebih dahulu. Kita berharap mereka dapat tampil menyerlah dan memberi saingan sebenar kepada pemain import mahupun pemain warisan, itu yang paling penting.

BACA LAGI: Senarai belum muktamad, 3 bintang JDT termasuk Hong Wan mungkin antara digugurkan Cklamovski

BACA LAGI: Saham Dion Cools mencanak, disebut-sebut dalam radar kelab gergasi Jepun

Legenda bola sepak tanah air, Reduan Abdullah.

“Kita masih belum dapat menilai sepenuhnya tahap sebenar pemain warisan yang ada sekarang. Justeru, harapan tetap diletakkan kepada pemain tempatan untuk membuktikan kemampuan mereka dan menjadi tulang belakang kepada kemajuan bola sepak negara.

"Kalau boleh, biarlah lebih ramai pemain lokal diketengahkan dan diberi peluang. Kalau ditanya kepada saya, dahulu kita pernah melahirkan ramai pemain tempatan yang benar-benar berkualiti. Zaman saya dahulu, pemain-pemain lokal memang hebat dan memberi impak besar.

“Namun kini, kita sedang berusaha mencari di mana sebenarnya kekurangan yang ada pada pemain tempatan kita.

"Dengan sistem pembangunan sedia ada, sepatutnya kita sudah boleh melahirkan pelapis baharu sebagai pengganti kepada pemain-pemain yang bakal bersara," katanya ketika ditemui dalam Majlis Sports Flame di Concorde Ballroom, Kuala Lumpur pada Ahad.

Pemain warisan Harimau Malaya, Hector Hevel (kanan). Facebook/Malaysia NT

Dalam masa yang sama, beliau juga melahirkan rasa kecewa dan kebimbangan terhadap nasib pemain tempatan, terutamanya jika kelab-kelab utama mula menarik diri daripada Liga Malaysia.

Bekas jurulatih pasukan UiTM FC juga menyifatkan perkembangan itu bukan sahaja bakal mencalarkan imej Liga M tetapi juga memberi satu petanda berkenaan situasi tidak sihat sukan bola sepak di Malaysia.

"Itu yang merisaukan saya jugalah. Bukan saya sahaja, saya rasa peminat bola sepak pun risau tentang kedudukan pasukan pasukan yang akan menarik diri dalam dalam Liga Malaysia.

"Saya rasa pihak Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) perlu memikirkan cara terbaik untuk menyelesaikan situasi itu," jelasnya.

Tambah Reduan, sekiranya pasukan-pasukan besar itu berhasrat menarik diri daripada beraksi dalam kancah Liga M, ia juga bakal memberi kesan kepada pembangunan bola sepak Malaysia.

"Dan bagi pandangan saya, pembangunan bola sepak adalah penting. Kalau pemain kita tak serius, kita akan banyak pemain import dengan warisan akan akan bermain di Liga Malaysia nanti.

"Kalau boleh kita tidak mahu situasi itu berlaku. Kita nak lahirkan lebih ramai bakat tempatan sama yang dilakukan satu ketika dahulu," katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram