Bekas bintang Spurs ranapkan impian kelab Singapura ulangi pencapaian JDT


  • Podium
  • Isnin, 19 Mei 2025

Lion City Sailors gagal mengulangi pencapaian JDT yang menjuarai Piala AFC 2015 dalam satu kempen cukup bersejarah.

SAINGAN Liga Juara-Juara AFC (ACL) Two musim ini sudah melabuhkan tirainya dengan wakil Emiriah Arab Bersatu (UAE), FC Sharjah menundukkan Lion City Sailors dari Singapura dalam aksi epik di Stadium Bishan, Singapura pada Ahad yang berakhir dengan keputusan 2-1.

Dalam perlawanan itu, kelab Timur Tengah tersebut mendapatkan gol pendahuluan menerusi Firas Ben Al Arbi pada minit ke-74 sebelum kedudukan kembali terikat setelah Maxime Lestienne mencetak jaringan pada masa kecederaan.

Bagaimanapun, harapan Lion City Sailors untuk mengheret pertembungan ke masa tambahan dan seterusnya ke penentuan sepakan penalti tidak kesampaian setelah Marcus Meloni menjaringkan gol pada minit-minit akhir permainan.

BACA LAGI: Terpaksa berputih mata, Lion City Sailors calar rekod kebal KL City

BACA LAGI: Teruja tundukkan Lion City Sailors, anak buah Bojan Hodak menari terima habuan RM439

Skuad Harimau Selatan menjadi satu-satunya kelab Asia Tenggara menjulang kejuaraan peringkat Asia.

Jaringan itu sudah tentu mengecewakan peminat bola sepak di Singapura yang mengharapkan pasukan kendalian Aleksandar Rankovic tersebut dapat mengulangi pencapaian Johor Darul Ta'zim (JDT).

Ini kerana sehingga hari ini, kelab Liga Super itu menjadi satu-satunya wakil Asia Tenggara yang menjulang kejuaraan di pentas Asia selepas menjuarai Piala AFC kira-kira 10 tahun lalu.

Tetapi, masing-masing sudah tentu berbangga kerana dapat menyaksikan Lion City Sailors melangkah ke perlawanan akhir ACL Two musim ini dengan pelbagai cabaran berjaya dihadapi.

Ini termasuk hadangan hebat daripada FC Sharjah dalam pertembungan di laman sendiri itu kerana pasukan berkenaan memiliki lambakan bintang dengan ada daripadanya beraksi di pentas antarabangsa buat UAE serta negara-negara lain.

Adel Taarabt yang memiliki pengalaman di EPL menjadi antara bintang yang membarisi FC Sharjah. Instagram/Adel Taarabt

Tidak cukup dengan itu, kelab berkenaan turut dibarisi bekas pemain sayap Tottenham Hotspur, Adel Taarabt yang pernah beraksi dalam Liga Perdana Inggeris (EPL) dan liga-liga ternama sekitar Eropah.

Meskipun kecewa dalam perlawanan tersebut, Lion City Sailors masih boleh tersenyum kerana mereka sudah menjuarai Liga Singapura dengan jurang mata besar dimiliki berbanding pencabar terdekat, Tampines Rovers.

Malah, pengalaman dimiliki sepanjang kempen ACL Two musim ini memberi peluang buat kelab tersebut untuk terus beraksi cemerlang di pentas Asia bagi kempen akan datang.

Berdasarkan kedudukan Singapura dalam kedudukan MA ranking, Lion City Sailors sudah menerima tiket automatik ke peringkat kumpulan kejohanan tersebut di samping naib juara liga. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram