Mungkin tinggalkan JDT usai kontrak tamat, ada 3 kelab Indonesia patut sambar Jordi Amat


  • Podium
  • Ahad, 20 Apr 2025

Jordi Amat sudah merekodkan 18 penampilan buat Timnas Indonesia dengan satu jaringan berjaya dicatatkannya. — PSSI

URA-URA mengenai kepulangan bek import Johor Darul Ta'zim (JDT), Jordi Amat ke Indonesia semakin hangat diperkatakan di media sosial.

Bukan satu atau dua, malah tiga kelab Liga 1 Indonesia dilaporkan berminat mendapatkan khidmat pemain naturalisasi skuad Sang Garuda itu.

Spekulasi tersebut semakin kukuh apabila timbul dakwaan bahawa kontrak Amat bersama Harimau Selatan bakal tamat pada 31 Mei ini, selepas menyertai JDT sejak tahun 2022.

BACA LAGI: Dicanang ke Selangor FC, fans Gergasi Merah sebaliknya tolak mentah-mentah Saddil Ramdani

BACA LAGI: KDA FC kembali bernyawa, penaja baharu tampil selamatkan Sang Kenari musim depan

Tiga kelab Liga 1 Indonesia dilihat berpotensi menjadi destinasi Jordi Amat sekiranya kontraknya bersama JDT tidak disambung. — Facebook/JST

Kini berusia 33 tahun, Amat pastinya sedang menilai tawaran untuk kembali beraksi di Liga 1 memandangkan persaingan sengit di barisan pertahanan JDT yang menyukarkan dia mendapat minit permainan secara konsisten.

Sebelum berhijrah ke Malaysia, kapten JDT itu memulakan perjalanan profesionalnya di Sepanyol, beraksi untuk Espanyol dan Swansea City di Liga Perdana Inggeris (EPL).

Sebagai kapten JDT dan pemain berprofil tinggi, masa depannya kini menjadi perhatian banyak pihak.

Oleh itu, Majoriti menyenaraikan tiga kelab Liga 1 Indonesia yang dilihat berpotensi besar untuk menjadi destinasi baharu buat bek tengah Harimau Selatan itu.

1. Persib Bandung

Persib Bandung menjadi antara destinasi yang hangat diperkatakan oleh penyokong sebagai pilihan Amat sekiranya kontraknya bersama Johor Darul Ta'zim (JDT) tidak disambung.

Andai Amat menyertai Persib musim depan, khidmatnya pasti ditagih untuk terus memperkukuh jentera pertahanan pasukan yang kini gah di persada Liga 1 Indonesia.

Persib atau lebih dikenali sebagai Pangeran Biru itu kini mengungguli carta liga dengan 61 mata hasil daripada 17 kemenangan selepas 29 perlawanan, satu pencapaian yang mencerminkan kekuatan dan kestabilan mereka musim ini.

Persib Bandung dikhabarkan mahu menyambar Amat. — Facebook/JST

Dengan pengalaman luas di Eropah dan kekuatan fizikal pada ketinggian 1.85 meter, Amat memiliki keupayaan taktikal serta disiplin yang tinggi serta kepakarannya di posisi bek tengah boleh menjadikan dia aset berharga untuk Persib.

Tambahan pula, dari segi kewangan, Persib merupakan salah satu kelab dengan sumber yang kukuh, menjadikan mereka mampu menawarkan pakej gaji kompetitif sekali gus menutup sebarang persoalan berkaitan isu bayaran atau kebajikan pemain.

2. Bali United

Baru-baru ini, nama Amat kembali menjadi sebutan hangat apabila dikaitkan dengan perpindahan ke salah sebuah kelab terkemuka Liga 1 Indonesia, Bali United.

Spekulasi tersebut mendapat perhatian apabila pegawai Bali United, Alexander Mahaputra tidak menafikan kemungkinan perpindahan itu.

Malah, dia mengakui bahawa Bali United yang dikenali dengan jolokan Semeton Dewata itu berminat untuk mendapatkan khidmat bek tengah berpengalaman itu.

Jordi turut dikhabarkan bakal sertai Bali United selepas kontraknya tamat. 

Melihat kepada kedudukan semasa dalam carta Liga 1, Bali United kini berada di tangga ke-10 dengan 41 mata selepas 29 perlawanan.

Prestasi yang tidak menentu musim ini jelas menunjukkan mereka memerlukan suntikan baharu di bahagian pertahanan.

Jika Amat memilih untuk menyertai Bali, kehadirannya dijangka mampu memperkukuhkan benteng pertahanan pasukan dan membawa kestabilan yang amat diperlukan untuk mencabar kelompok teratas liga musim depan.

3. Dewa United

Perpindahan Amat dari JDT ke Dewa United bukan sekadar satu kejutan, tetapi merupakan keputusan yang bijak dan strategik.

Di JDT, saingan bagi posisi bek tengah sangat sengit dengan kehadiran pemain seperti Shane Lowry, Feroz Baharudin dan Shahrul Saad.

Walaupun Amat memiliki pengalaman serta kualiti tinggi, dia mungkin sukar mendapatkan minit permainan yang konsisten.

Bek tengah JDT, Jordi Amat (kiri).  — Facebook/JST

Sebaliknya, bersama Dewa United, Amat berpeluang tampil secara tetap, memimpin barisan pertahanan dan kekal bersaing dalam sebuah liga yang semakin kompetitif.

Tambahan pula, dengan sumber kewangan yang kukuh dan struktur kelab yang progresif, Dewa United adalah destinasi yang sesuai jika Amat mahu kembali ke Indonesia dan terus menyinar di peringkat domestik serta antarabangsa. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram