
DESAS-DESUS mengenai kepulangan bek import Johor Darul Ta'zim (JDT), Jordi Amat ke Indonesia semakin hangat diperkatakan di media sosial susulan kontrak pemain itu akan berakhir pada penghujung Mei ini.
Bukan satu atau dua, malah tiga kelab Liga 1 Indonesia seperti Persib Bandung, Bali United dan Dewa United dilaporkan berminat mendapatkan khidmat pemain naturalisasi skuad Sang Garuda itu.
Dengan khabar angin itu, ada yang mendakwa Amat pastinya sedang menilai tawaran untuk kembali beraksi di Liga 1 memandangkan persaingan sengit di barisan pertahanan JDT dan menyukarkan dia mendapat minit permainan secara konsisten.
BACA LAGI: Mungkin tinggalkan JDT usai kontrak tamat, ada 3 kelab Indonesia patut sambar Jordi Amat
BACA LAGI: 'Kita tunggu dan lihat', Bali United jawab khabar angin Jordi Amat tinggalkan JDT
Bagaimanapun, pemain warisan Indonesia-Sepanyol itu menafikan khabar angin itu dan mengakui terkejut dengan berita tersebut, slain mengetahui dia langsung tidak tahu akan perkara itu.
"Itu semua khabar angin yang saya akan ke Liga 1 Indonesia, sejujurnya saya belum tahu lagi mengenai status saya bersama JDT kerana masih belum ada perbincangan mengenai lanjutan kontrak untuk kekal dalam skuad Harimau Selatan.
"Ini kerana kami sebagai pemain dan juga pihak pengurusan begitu sibuk pada minggu ini tatkala membuat persiapan untuk final Piala Malaysia dan saya menghormati pihak pengurusan dan minggu depan saya akan ketahui maklumat berhubung status kontrak dan kita tunggu sahaja.
"Tidak dinafikan saya amat berbangga menyarung jersi JDT sejak menyertai pasukan itu tiga musim lalu dan kelab ini cukup menakjubkan ditambah kombinasi pengurusan dan pemain membentuk persefahaman yang jitu yang membolehkan JDT meraih `hatrik quadruple' pada musim 2024 dan 2025," katanya memetik laporan Harian Metro.
Jordi dikhabarkan bakal sertai Bali United selepas kontraknya tamat.
Untuk rekod, sebelum berhijrah ke Malaysia, kapten JDT itu memulakan perjalanan profesionalnya di Sepanyol, beraksi untuk Espanyol dan Swansea City di Liga Perdana Inggeris (EPL).
Sebagai kapten JDT dan pemain berprofil tinggi, masa depannya kini menjadi perhatian banyak pihak. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram